LIMBANG: Pesta Limbang yang membuka tirai kelmarin menarik lebih 15,000 pengunjung dari seluruh Borneo sepanjang empat hari penganjurannya yang berakhir esok.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata Pesta Limbang 2026 amat dinanti-nantikan masyarakat di utara Sarawak, selain berpotensi mempromosikan Limbang sebagai lokasi utama penganjuran sukan popular seperti regata dan perlumbaan bot laju.
Beliau berkata, sambutan terhadap Pesta Limbang edisi kali ini amat luar biasa apabila ribuan pengunjung, termasuk dari Brunei, Lawas dan kawasan sekitarnya, membanjiri tebingan yang terpanjang di Sarawak itu.

HADIR… Datuk Dr Abdul Rahman Ismail hadir pada Perlumbaan Bot Laju dan Penyampaian Hadiah sempena Pesta Limbang 2026 di Dataran Tebingan Limbang.
“Saya percaya sepanjang empat hari penganjuran Pesta Limbang, bermula Khamis hingga Ahad ini, jumlah mencecah 15,000 pengunjung.
“Ini menunjukkan bahawa penganjuran pesta ini mendapat sambutan yang sangat baik. Pesta ini memberi kesan langsung terhadap ekonomi di Limbang, khususnya dalam sektor makanan, perhotelan dan pengangkutan.
“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam penganjuran pesta ini, termasuk Pejabat Residen, kerajaan negeri dan Persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) serta Kementerian Pelancongan Sarawak.
“Sambutan luar biasa ini akan memberi semangat kepada kami untuk terus menganjurkan pesta ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas Perlumbaan Bot Laju dan majlis penyampaian hadiah sempena Pesta Limbang di Dataran Tebingan Limbang petang semalam.

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang dan kenamaan tempatan lainnya.
Beliau yang juga ADUN Bukit Kota Limbang menjelaskan, Pesta Limbang merupakan program dan acara menarik yang diadakan setiap tahun dan kali terakhir diadakan pada 2017 dan bakal diadakan setiap dua tahun.
Ujarnya ketiadaan pesta tersebut sejak sembilan tahun lalu adalah disebabkan oleh pandemik COVID-19 serta memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembangunan Tebingan Sungai Limbang yang kini siap sepenuhnya.
Pesta Limbang, katanya, merupakan inisiatif penting dalam mempromosikan Daerah Limbang sebagai pintu masuk utama pelancongan di utara Sarawak.
Pelbagai acara diadakan sepanjang pesta itu, termasuk pertandingan bot laju, perlumbaan perahu bidar, perlumbaan perahu naga, malam kebudayaan, gerai jualan, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti lain.
Oleh Adeng Edrus





