Lebih 191kg dadah bernilai RM17.2 juta dirampas di Kuching, Limbang

Facebook
WhatsApp
ANTARA dadah yang berjaya dirampas.

PETRA JAYA: Polis Sarawak berjaya merampas lebih 191 kilogram pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM17.2 juta menerusi dua operasi berasingan di Kuching dan Limbang pada 11 dan 14 September lalu.

Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Sarawak itu turut menyaksikan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 39 dan 23 tahun ditahan.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kedua-dua operasi berkenaan membabitkan rampasan keseluruhan 191.588 kilogram dadah yang dipercayai boleh merosakkan sehingga 484,848 individu sekiranya disalahgunakan.

“Dalam tempoh seminggu ini kita telah berjaya membuat dua serbuan dan telah merampas serta menangkap, iaitu nilai dadah berjumlah RM17.2 juta dengan beratnya melebihi 191 kilogram,” katanya pada sidang media kejayaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata, dalam operasi pertama pada 11 September lalu, JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Sarawak menyerbu sebuah rumah di Kuching dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

Katanya, serbuan itu membawa kepada rampasan 107.518 kilogram dadah bernilai RM12.89 juta, membabitkan 50.1 kilogram serbuk MDMA, 32.3 kilogram ketamin, 25 kilogram cecair MDMA dan 0.118 kilogram pil Erimin 5.

ANTARA dadah yang berjaya dirampas.

“Rumah berkenaan dipercayai digunakan suspek untuk membungkus dan menyimpan dadah sebelum diedarkan di sekitar Kuching.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Julai 2026. Suspek merupakan pengedar dan menyewa rumah tersebut melalui Airbnb untuk tujuan membungkus dadah sebelum dijual di sekitar Kuching,” katanya.

Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methamphetamine atau amphetamine, manakala semakan rekod mendapati dia mempunyai lima rekod lampau, termasuk satu berkaitan kesalahan dadah dan empat kesalahan jenayah.

Suspek kini ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam operasi kedua pada 14 September lalu di Jalan Mendamit, Limbang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.

Polis merampas 84.07 kilogram dadah bernilai kira-kira RM4.3 juta, terdiri daripada 81.21 kilogram syabu, 2.06 kilogram ketamin dan 0.80 kilogram serbuk MDMA.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak November 2025, dengan modus operandi menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk membawa bekalan dadah dari Miri ke Sabah melalui jalan darat.

Polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM35,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

DATUK Mohamad Zainal Abdullah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, hari ini.

Ujian saringan awal air kencing suspek didapati negatif dadah dan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Suspek kini ditahan reman sehingga 22 September bagi membantu siasatan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, turut dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Mengulas tindakan lanjut terhadap kes pertama, Datuk Mohamad Zainal berkata, suspek masih dalam tempoh reman dan polis akan melengkapkan siasatan sebelum merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Kes ini boleh direman maksimum 14 hari. Kita akan sambung reman kerana siasatan kita hampir siap, tetapi kita perlukan sedikit masa tambahan supaya boleh merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata, PDRM Sarawak akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan bagi menumpaskan rangkaian pengedaran dadah di negeri ini.

“Ini merupakan salah satu lagi kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah. Kita terus menggalakkan orang ramai untuk menyalurkan maklumat supaya kita dapat mengambil tindakan lebih agresif dan menumpaskan lebih banyak kegiatan pengedaran dadah, khususnya di Sarawak,” katanya.

Menurut kenyataan PDRM Sarawak, keseluruhan rampasan daripada kedua-dua operasi berkenaan dianggarkan boleh merosakkan 484,848 orang jika digunakan atau disalahgunakan.

Oleh Shahrul Qaizat