KUCHING: Polis Padawan merekodkan 84 kertas siasatan dan 88 tangkapan menerusi operasi memerangi dadah yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dari 17 Ogos hingga 17 September 2026.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William berkata, operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah, termasuk 1,092 gram ganja, 110 mililiter cecair ganja dan 39.44 gram syabu.
Keseluruhan nilai rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM25,048.
Barry menasihatkan semua lapisan masyarakat, khususnya golongan belia dan generasi muda, supaya menjauhi penyalahgunaan dadah serta tidak terlibat dalam kegiatan memiliki atau mengedar dadah.
“Dadah merupakan ancaman serius yang boleh merosakkan masa depan individu, menjejaskan keharmonian keluarga serta mengancam keselamatan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah supaya segera menyalurkannya kepada pihak polis.
“Bersama-sama kita membanteras dadah dan melindungi generasi muda. Perangi dadah, lindungi generasi,” katanya.
Oleh Connie Chieng





