PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus membuktikan pendekatan ‘cakap serupa bikin’ menerusi pelaksanaan dasar pembangunan jangka panjang yang diyakini mampu membawa negeri ini mencapai status maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan ekonomi Sarawak yang semakin menyerlah kebelakangan ini berpaksikan dasar jangka panjang yang mantap di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Menurutnya, hala tuju Sarawak ke arah ekonomi hijau dan mampan merupakan langkah tepat dalam usaha mengangkat kedudukan ekonomi negeri ini ke tahap lebih tinggi.
“Kerajaan GPS di Sarawak telah terbukti sebuah kerajaan yang ‘cakap serupa bikin’.
“Pembangunan ekonomi Sarawak adalah antara yang amat menyerlah kebelakangan ini berpaksikan dasar jangka panjang yang mantap di bawah PCDS 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam ini.
Abang Johari berkata antara perkembangan yang mencerminkan hala tuju berkenaan ialah pemilihan Bintulu sebagai salah satu daripada 43 Transitioning Industrial Cluster (TIC) di seluruh dunia dan yang pertama di Malaysia di bawah kelolaan Forum Ekonomi Dunia.
Katanya, ketika Bintulu di utara Sarawak berkembang sebagai antara pusat transformasi industri yang sedang beralih kepada tenaga bersih, Tanjung Embang di selatan pula dirancang menjadi pintu masuk kepada jaringan ekonomi lebih luas menerusi pembangunan hab rendah karbon.
Menurutnya, Tanjung Embang yang bakal disokong oleh sebuah lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan laut dalam yang baharu dijangka menarik pelaburan keseluruhan sekitar RM100 bilion dalam dekad akan datang.
Beliau berkata kesediaan Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk bekerjasama dengan Sarawak turut dilihat sebagai pengiktirafan terhadap usaha negeri ini untuk muncul sebagai hab ekonomi hijau di rantau ASEAN dan Asia.
Katanya, potensi hubungan tenaga rentas sempadan kini dapat dilihat menerusi bekalan elektrik ke Kalimantan serta hubungan yang sedang diperkukuh dengan Sabah, selain perancangan untuk membekalkan elektrik kepada Brunei.
“Ini menunjukkan bahawa tenaga Sarawak mempunyai peranan yang semakin penting dalam pembangunan Borneo dan ASEAN,” katanya.
Abang Johari yakin kerjasama erat antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan akan membolehkan Sarawak mencapai aspirasi menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Oleh Norman B





