KUCHING: Pelabuhan Bintulu kini secara rasmi menjadi milik kerajaan Sarawak selepas diserahkan oleh Kerajaan Persekutuan, sekali gus menandakan berakhirnya pengurusan pelabuhan itu sebagai pelabuhan persekutuan.
Pertukaran status itu direalisasikan selepas proses pengambilalihan yang berlangsung lebih tiga tahun antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Menurut kenyataan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPPS), pengambilalihan itu berkuat kuasa pada 1 September 2026 susulan pemansuhan status Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan persekutuan.
“Selaras dengan itu, semua harta, hak, kepentingan dan obligasi Lembaga Pelabuhan Bintulu (LPB) dipindahkan dan diletakkan hak kepada kerajaan Sarawak.
“LPB yang sebelum ini merupakan badan berkanun Persekutuan di bawah Kementerian Pengangkutan turut dibubarkan, manakala peranan sebagai pihak berkuasa Pelabuhan Bintulu kini diambil alih oleh Bintulu Port Authority (Sarawak) (BPA).
“BPA merupakan badan berkanun negeri yang ditubuhkan pada 1 September 2024 di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan, 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penyerahan rasmi itu disimbolikkan menerusi penyerahan beberapa dokumen berkaitan, termasuk Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026 dan Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026.

Dokumen rasmi itu diterima Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, daripada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Majlis tersebut disaksikan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim, dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Untuk rekod, hasrat pengambilalihan Pelabuhan Bintulu diumumkan oleh Premier Sarawak pada 30 Januari 2023, sebelum cadangan itu diluluskan Kabinet Sarawak pada 23 Februari tahun sama.
Perdana Menteri kemudiannya mengumumkan persetujuan pengambilalihan berkenaan ketika pembentangan Belanjawan 2024 di Parlimen pada 13 Oktober 2023.
Kedua-dua kerajaan menandatangani Memorandum Persefahaman pada 22 Mac 2024, sebelum dua rang undang-undang berkaitan pengambilalihan itu dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 17 Julai 2024.
Pada 4 Februari 2026, kedua-dua pihak mencapai persetujuan mengenai nilai pengambilalihan LPB berjumlah RM1.8 bilion.
Proses itu diteruskan dengan pemeteraian Perjanjian Penyempurnaan (Completion Agreement) pada 21 Jun 2026, disusuli majlis penyerahan cek daripada kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan di Bintulu.

Pada 28 Ogos 2026, penetapan tarikh kuat kuasa Akta 858 dan Akta 859 diwartakan, manakala 1 September 2026 ditetapkan sebagai tarikh kedua-dua akta itu berkuat kuasa.
Pada tarikh sama, LPB dibubarkan dan BPA mula mengambil alih peranan sebagai pihak berkuasa Pelabuhan Bintulu di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Pelabuhan, 1961.
Sejarah Pelabuhan Bintulu
LPB ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 sebagai badan berkanun Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Pelabuhan Bintulu dibangunkan sebagai pelabuhan air dalam bagi menyokong kegiatan perindustrian di Bintulu, khususnya industri gas asli cecair (LNG).
Kedudukan strategiknya turut menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan antarabangsa serta laluan utama eksport LNG dari Malaysia.





