BEKENU : Orang ramai kini boleh melakukan urusan secara terus atau ‘walk-in’ di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di Pejabat Pos Malaysia bermula semalam.
Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, keputusan itu dibuat selepas menghubungi Pengurus Besar Pos Malaysia Sarawak pada Selasa lepas.
“Ini bagi menyelesaikan aduan orang ramai yang tidak tahu menggunakan sistem temu janji secara dalam talian untuk pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan.
“Bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada pelanggan yang mempunyai temu janji dan pelanggan yang datang secara terus atau ‘walk-in’ perlu menunggu giliran,” katanya.
Demikian katanya dalam kenyataan media selepas membuat tinjauan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 dan pengoperasian kaunter Pejabat Pos Malaysia dan JPJ Miri di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri semalam.
Sementara itu, Pengurus Pos Malaysia Cawangan Miri, Syukari Mohamad menjelaskan terdapat tujuh kaunter telah disediakan di Pejabat Pos Miri termasuk dua kaunter yang dikhaskan untuk urusan pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, Sabtu (8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari) dan tutup pada Sabtu ketiga pada setiap bulan.
Manakala, Pejabat Pos Malaysia Boulevard yang beroperasi setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pula menyediakan tiga kaunter pada Rabu dan dua kaunter yang akan beroperasi pada setiap hari.
Selain itu, orang ramai juga boleh menggunakan aplikasi Pos Malaysia yang boleh dimuat turun di telefon pintar masing-masing.
Sementara itu, Datuk Lee turut memaklumkan masa operasi kaunter JPJ UTC Miri juga telah dipanjangkan selepas mendapat keputusan daripada Pengarah JPJ Sarawak.
Tambahnya, semua kaunter JPJ boleh dibuat secara terus atau walk-in kecuali JPJ di Kuching dan Serian yang masih dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2.
“Atas rayuan orang ramai, Kementerian Pengangkutan Sarawak juga telah berhubung dengan Pengarah JPJ Sarawak agar mengubah masa operasi JPJ di UTC sebelum ini iaitu jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Oleh itu, JPJ telah bersetuju untuk memanjangkan masa beroperasi. Berkuatkuasa pada hari ini (semalam), waktu operasi JPJ di UTC adalah dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan urusan mereka,” ujarnya.
Beliau turut menemui orang ramai yang berbaris untuk membayar bil dan mencadangkan mereka mendaftar dan menggunakan aplikasi SarawakPay.
“Saya turut mencadangkan orang ramai agar mereka mendaftar dan menggunakan aplikasi Sarawak Pay.
“Mereka boleh membayar bil-bil utiliti mereka dari rumah dengan hanya mengimbas kod QR di bil masing-masing, jadi mereka tidak payah membuang masa menunggu lama selain dapat mengelakkan mereka daripada terdedah kepada bahaya penyakit.
“Dengan Sarawak Pay juga orang ramai ditawarkan diskaun dan juga boleh mendapatkan pulangan tunai apabila digunakan secara kerap dan ini saya pasti lebih memudahkan dan menguntungkan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pejabat JPJ Miri Cawangan UTC, Nurhasanah Mashur memaklumkan bahawa terdapat lima kaunter telah disediakan dan transaksi adalah tanpa tunai dengan menggunakan kad debit atau kad kredit sahaja.
Oleh ADUM LIU