Sekolah di Lubok Antu dibuka semula esok

Facebook
WhatsApp
KENYATAAN JPN Sarawak hari ini.

KUCHING: Semua sekolah rendah dan menengah dalam pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu di Bahagian Sri Aman yang terjejas akibat jerebu akan dibuka semula dan beroperasi seperti biasa mulai esok.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) setakat 7.00 pagi hari ini serta laporan dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia). 

“Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut JPN Sarawak dalam kenyataan hari ini.

JPN Sarawak memaklumkan ibu bapa atau penjaga bagaimanapun dibenarkan untuk tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah sekiranya bimbang terhadap tahap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak.

Bagaimanapun, mereka perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Menurut kenyataan itu, aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid terus diberi keutamaan, khususnya ketika berdepan cuaca panas atau keadaan cuaca di luar jangkaan. – Bernama