WASHINGTON: Lebih satu daripada empat pekerja Amerika Syarikat (AS) menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kehilangan pekerjaan akibat kemajuan teknologi, menurut tinjauan Gallup yang dikeluarkan hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Kebimbangan bahawa pekerjaan mereka mungkin tidak lagi diperlukan akibat teknologi dikongsi 27 peratus pekerja, kadar tertinggi sejak Gallup mula merekodkan perkara itu pada 2017. Sembilan tahun lepas, hanya 13 peratus responden menyuarakan kebimbangan sama.
Tinjauan itu turut menunjukkan kebimbangan meningkat dalam kalangan pekerja berkelulusan kolej dan mereka yang tidak memiliki kelulusan kolej, masing-masing sebanyak 29 peratus dan 25 peratus bimbang kehilangan pekerjaan akibat kemajuan teknologi. Sebagai perbandingan, hanya 15 peratus dan 10 peratus menyuarakan kebimbangan sama pada 2017.
Kebimbangan itu jauh lebih tinggi dalam kalangan mereka yang berusia 18 hingga 44 tahun, dengan lebih satu pertiga bimbang pekerjaan mereka akan terjejas akibat teknologi, meningkat 24 mata peratusan berbanding 2017 dan lapan mata peratusan berbanding 2025.
Mereka yang berusia 45 tahun dan ke atas pula kurang bimbang, dengan hanya seorang daripada lima menyuarakan kebimbangan berkenaan.
Tinjauan itu dijalankan antara 3 hingga 24 Ogos sebagai sebahagian daripada kajian Pekerjaan dan Pendidikan Gallup. – Bernama




