Indonesia harap AirBorneo tambah kekerapan laluan Jakarta-Kuching, kesalinghubungan lebih meluas

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Bahagian Pemasaran Pelancongan Indonesia, Ni Made Ayu Marthini, berharap AirBorneo meningkatkan kekerapan penerbangan laluan Jakarta-Kuching kepada perkhidmatan harian serta memperluas rangkaian ke destinasi popular lain di Indonesia susulan peningkatan permintaan perjalanan antara kedua-dua negara.

JAKARTA, 14 November: Indonesia berharap AirBorneo Airways, milik kerajaan negeri Sarawak, akan meningkatkan kekerapan penerbangan laluan Jakarta-Kuching kepada perkhidmatan harian serta meluaskan hubungan ke destinasi lain di negara itu.

Ini memandangkan pertukaran pelancongan antara Indonesia dan Malaysia yang semakin berkembang ketika ini, kata Timbalan bahagian pemasaran pelancongan Indonesia Ni Made Ayu Marthini.

Marthini menyambut baik perkhidmatan baharu syarikat penerbangan itu yang beroperasi tiga kali seminggu namun menyuarakan harapan agar kekerapan penerbangan dapat ditingkatkan lagi terutamanya ke destinasi popular dalam kalangan pelancong Malaysia seperti Bandung dan Yogyakarta.

“Diharapkan selepas ini, akan ada penerbangan harian ke Jakarta, diikuti perkhidmatan ke destinasi lain di Indonesia, seperti Bandung, yang sangat popular dalam kalangan pelancong Malaysia dan sudah tentu Yogyakarta, bandar kegemaran saya.

“Bali merupakan satu lagi destinasi yang menjadi tumpuan ramai,” katanya pada majlis menyambut penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching serta pelancaran perkhidmatan penerbangan balik dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada petang Jumaat.

Turut hadir timbalan setiausaha kewangan negeri Sarawak dan ahli lembaga pengarah AirBorneo Datuk Hasmawati Sapawi, timbalan ketua perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Farzami Sarkawi, Konsul Jeneral Indonesia di Kuching Dr Abdullah Zulkifli dan ketua pegawai eksekutif AirBorneo Megat Ardian Aminuddin.

Menyoroti permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan antara kedua-dua negara itu, Marthini berkata ketibaan pelancong dari Malaysia ke Indonesia meningkat hampir sembilan peratus antara Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dengan Malaysia menjadi sumber utama pelawat antarabangsa bagi Indonesia.

Beliau menekankan kepentingan kesalinghubungan udara dalam menyokong pertumbuhan ini, dengan menyatakan bahawa kira-kira 70 peratus pelancong antarabangsa melakukan perjalanan melalui udara, manakala pengangkutan laut kekal penting bagi destinasi seperti Batam dan Bintan.

Memandangkan geografi Indonesia yang luas, beliau berharap agar perkhidmatan penerbangan baharu ini dapat menyumbang kepada ekonomi pelancongan yang sedang berkembang serta mengukuhkan lagi hubungan dua hala, sambil menyatakan kesalinghubungan yang lebih baik diperlukan bagi menyokong pertumbuhan jumlah pelawat yang berterusan.

Sementara itu, Megat Ardian berkata laluan baharu tersebut bertujuan menyokong pergerakan yang lebih lancar bagi urusan perniagaan, perdagangan rentas sempadan, perjalanan untuk tujuan perubatan, serta pertukaran budaya antara Sarawak dan Indonesia, di samping menawarkan lebih banyak pilihan dan fleksibiliti kepada para pengembara.

“Laluan ini bukan sekadar peluasan rangkaian penerbangan pesawat kami, malah merupakan penghubung penting untuk memperkukuh kerjasama serta pertumbuhan bersama kedua-dua negara,” katanya pada majlis yang sama.

AirBorneo menerusi satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan terus itu juga akan memudahkan akses bagi pesakit dari Indonesia yang mendapatkan rawatan kesihatan pakar di Sarawak, termasuk pemeriksaan diagnostik, mendapatkan pandangan kedua, serta prosedur perubatan yang telah dirancang.

Perkhidmatan Jakarta-Kuching beroperasi tiga kali seminggu, iaitu pada Isnin, Jumaat dan Ahad, menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang dilengkapi dengan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 tempat duduk kelas ekonomi. – Bernama