LABUAN, 15 November: Kuil Thirumurugan Labuan berjaya mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pembinaan struktur ikon Vel tertinggi di negara ini dengan ketinggian 13.18 meter.
Sijil MBOR itu disampaikan pada majlis yang berlangsung di pekarangan kuil berkenaan di sini hari ini.
Pencapaian itu menambah satu lagi lembaran sejarah kuil berkenaan yang telah berperanan sebagai pusat kerohanian masyarakat Hindu di Labuan selama lebih lima dekad.
Pemegang amanah dan penasihat kuil berkenaan Subramaniam Muniandy berkata Vel, iaitu simbol suci yang dikaitkan dengan Dewa Thirumurugan, melambangkan kebijaksanaan, keberanian, kebenaran dan perlindungan.
“Selain kepentingan dari sudut keagamaan, struktur itu diharap menjadi mercu tanda kebudayaan yang akan menyumbang kepada identiti masyarakat berbilang kaum di Labuan serta meningkatkan penghayatan terhadap kepelbagaian warisan,” katanya ketika majlis penyerahan Sijil MBOR di kuil berkenaan.
Beliau berkata sejarah kuil itu dapat dijejaki sejak zaman awal komuniti tentera India di Labuan, apabila ia bermula sebagai sebuah lokasi ibadat yang sederhana sebelum berkembang secara beransur-ansur menjadi pusat kerohanian yang penting.
“Dua upacara besar Kumbhabishegam telah diadakan pada 1992 dan 2004, manakala jawatankuasa pengurusan kuil itu secara rasmi didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 2018,” katanya.
Subramaniam berkata pembangunan kuil itu turut mendapat sokongan daripada Pangkalan Udara Labuan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang membantu memudahkan proses pemberimilikan tanah sebelum tanah berkenaan secara rasmi diserahkan oleh Kementerian Pertahanan pada 2019.
“Dengan kelulusan yang diperlukan daripada Perbadanan Labuan, kuil itu kemudiannya menjalani projek pembinaan semula secara besar-besaran yang menelan belanja kira-kira RM3.5 juta,” katanya.
Projek pembangunan semula itu mencapai kemuncaknya menerusi upacara Maha Kumbhabishegam pada 9 Februari 2025, sekali gus menyediakan tempat ibadat yang lebih baik dan kekal untuk masyarakat Hindu.
Beliau berkata pembinaan Vel setinggi 13.18 meter itu kemudiannya dilaksanakan sebagai sebahagian daripada visi pembangunan kuil berkenaan secara menyeluruh, dengan projek itu direalisasikan menerusi sumbangan jawatankuasa pengurusan, para penderma, kontraktor, perunding, penganut dan sukarelawan.
“Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen dan sumbangan kolektif masyarakat, selain kerjasama pihak berkuasa serta pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dan berharap struktur itu dapat menarik kedatangan pelancong, penyelidik dan peminat kebudayaan. – Bernama



