BANJARMASIN: Lima anak kapal KM Virgo Transport 8 terselamat dalam kemalangan kapal di Laut Jawa dengan berpaut pada tong gas petroleum cecair (LPG) kosong seberat tiga kilogram dan hanyut sekitar sembilan jam sebelum diselamatkan sebuah bot tunda, lapor agensi berita Antara.
Seorang anak kapal, Akmal berkata beliau dan empat rakannya menggunakan tong gas itu sebagai alat apungan kerana tidak menemukan bot penyelamat atau rakit kembung selepas meninggalkan kapal berkenaan.
“Kami berlima berpaut pada satu tong gas LPG. Ia tong kosong seberat tiga kilogram,” kata Akmal selepas diselamatkan dan tiba di Pelabuhan Trisakti di Banjarmasin, Kalimantan Selatan pada Selasa.
Akmal antara 22 mangsa terselamat yang dibawa keluar pada Selasa menggunakan Rigid Buoyancy Boat (RBB) dari Pangkalan Tentera Laut Banjarmasin selepas dipindahkan dari kapal KRI Nala di lokasi kejadian.
Beliau berkata mereka telah dipindahkan antara beberapa kapal sejak diselamatkan sekitar 10.00 pagi waktu tempatan pada Ahad, selepas kemalangan berlaku sekitar 1.00 pagi.
Akmal berkata mereka terjun ke laut sekitar 1.00 pagi dan ditemukan sebuah bot tunda sekitar 10.00 pagi, selepas mengharungi ombak besar selama hampir sembilan jam sambil berpaut pada tong gas berkenaan.
Ketika berada di laut, Akmal dan empat anak kapal lain bergelut untuk terus berpaut pada tong gas itu ketika dipukul ombak besar sehingga bantuan tiba.
Akmal berkata beliau tidak melihat sebarang bot penyelamat atau rakit kembung sepanjang berada di laut. Mereka berlima kekal bersama sehingga bot tunda tiba dan menyelamatkan mereka.
“Saya kemudian melihat mangsa terselamat dan mangsa yang meninggal dunia berada di atas bot tunda, tetapi saya tidak mengetahui keadaan sebenar mereka sebelum dibawa keluar dari laut,” katanya.
Akmal yang berasal dari daerah Garut, Jawa Barat bekerja sebagai petugas pembersihan di KM Virgo Transport 8 dan telah bekerja di kapal itu selama sekitar tiga bulan sebelum kemalangan.
Setakat 9 pagi waktu tempatan Selasa, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) memaklumkan 114 orang telah ditemukan, termasuk 108 yang terselamat dan enam terkorban. Seramai 129 lagi daripada keseluruhan 243 orang di atas kapal masih hilang.
Daripada 114 orang yang ditemukan, 110 telah tiba di Banjarmasin, termasuk 108 mangsa terselamat dan dua mangsa yang terkorban. Basarnas memaklumkan empat lagi mangsa yang terkorban masih dalam proses dibawa keluar melalui udara.
Virgo Transport 8 yang membawa 243 orang terputus hubungan di perairan Masalembo, Laut Jawa kira-kira 2.00 pagi waktu tempatan pada Ahad (13 Sept), ketika dalam pelayaran dari Surabaya ke Banjarmasin. – Bernama





