SANTUBONG: Sebarang penambahan kerusi Parlimen perlu memastikan Sabah dan Sarawak secara bersama mengekalkan nisbah satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pendirian itu berasaskan prinsip perwakilan dan perlindungan kepentingan Sabah serta Sarawak yang terkandung dalam kerangka pembentukan Malaysia, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dalam IGC kita memang ada disebut perwakilan berkadar (proportional representation). Satu lagi disebut ialah ratio. Masa itu kita ada satu pertiga.
“Jadi kita berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bersandar kepada ratio yang telah dipersetujui di bawah MA63, yang berlandaskan kepada Suruhanjaya Cobbold dan IGC,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Ekosistem Pembangunan Bakat Utama (Flagship) Semikonduktor Sarawak di CENTEXS Santubong, di sini, hari ini.
Kenyataan itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 11 September lalu bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa, selaras dengan semangat MA63.
Abang Johari berkata sekiranya jumlah kerusi Parlimen ditambah, pengiraan berkenaan perlu dibuat berdasarkan jumlah keseluruhan kerusi bagi memastikan nisbah satu pertiga itu dicapai.
“Kalau nak menambahkan peruntukan kerusi di peringkat Parlimen, maknanya kalau tambah, kita mesti ada ratio satu pertiga. Daripada jumlahnya, kita kira satu pertiga,” katanya.
Beliau berkata prinsip berkenaan berkait rapat dengan susunan asal pembentukan Malaysia yang turut melibatkan Singapura, Sabah dan Sarawak sebagai satu pertiga daripada keseluruhan perwakilan di Parlimen.
Menurutnya, selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, kerusi yang ditinggalkan tidak dikongsi semula dengan Sabah dan Sarawak, sebaliknya diambil oleh Semenanjung.
“Dulu Singapura, Sabah, Sarawak satu pertiga. Itu untuk melindungi kepentingan kita. Apabila Singapura keluar, kerusi itu diambil oleh Semenanjung sahaja, tidak dikongsi dengan kita. Sebab itu jurang ratio itu kurang,” katanya.
Pada masa ini, Sabah dan Sarawak mempunyai 56 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, iaitu kira-kira 25 peratus, berbanding nisbah satu pertiga yang menjadi asas tuntutan kedua-dua negeri berkenaan.
Abang Johari berkata sekiranya jumlah kerusi Parlimen dinaikkan, penambahan itu perlu turut melibatkan Sabah dan Sarawak bagi memastikan nisbah perwakilan mereka meningkat.
“Kalau jumlahnya 200, satu pertiga ialah 66. Jadi Sabah dan Sarawak mesti ada satu pertiga,” katanya.
Beliau berkata Sarawak menyambut baik persetujuan prinsip Perdana Menteri berhubung peningkatan nisbah berkenaan, namun kaedah pemetaan sempadan dan agihan kerusi baharu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, perkara utama ialah memastikan sebarang penambahan kerusi tidak sekadar meningkatkan jumlah Ahli Parlimen, tetapi benar-benar memperbaiki nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen.
Oleh Shikin Mahmud





