SARIKEI: Seramai 69 graduan Kolej Komuniti Sarikei (KKSR) dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) berjaya menamatkan pengajian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Sarawak 2026 di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), baru-baru ini.
Jurucakap KKSR berkata, daripada jumlah tersebut, 59 merupakan graduan KKSR membabitkan 32 graduan Sijil Teknologi Maklumat dan 27 graduan Sijil Kulinari, manakala 10 lagi ialah graduan Sijil Pengembaraan Pelancongan dari KKSRCS.
“Seramai 69 graduan Kolej Komuniti Sarikei (KKSR) dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) telah berjaya menamatkan pengajian dan diraikan dalam Majlis Konvokesyen POLYCC Zon Sarawak 2026 yang berlangsung gilang-gemilang di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 13 September lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Majlis konvokesyen bagi Sidang 4 tersebut dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin.
Kejayaan kumpulan graduan berkenaan turut diserikan dengan pencapaian dua graduan KKSR yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang.
“Hari bersejarah tersebut turut menyaksikan pengiktirafan kecemerlangan akademik pelajar apabila dua graduan KKSR dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang.
“Mereka ialah Morrison Dougles Lo Chee Ho daripada program Sijil Kulinari dan Jeremy Minggat daripada program Sijil Teknologi Maklumat,” katanya.
Selain kecemerlangan akademik, penganjuran konvokesyen kali ini turut mengetengahkan keberkesanan hubungan antara institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan pihak industri dalam menyediakan peluang kerjaya kepada graduan.
Graduan Sijil Kulinari, Jason Chan Xue Seng merangkul Anugerah Khas Industri yang ditaja oleh Joy Bakery Sdn. Bhd, sekali gus mencatat pencapaian tersendiri apabila turut menerima tawaran pekerjaan daripada syarikat tersebut.
“Menerusi penganugerahan tersebut, Jason Chan bukan sahaja membawa pulang trofi dan sijil, malah beliau turut ditawarkan peluang pekerjaan secara terus oleh Joy Bakery Sdn. Bhd,” katanya.
Joy Bakery Sdn. Bhd. merupakan rakan kolaborasi strategik yang bertindak sebagai Industry on Campus (IOC) di KKSR, dengan kerjasama itu memberi pendedahan mengenai persekitaran pekerjaan sebenar kepada pelajar sebelum mereka memasuki pasaran kerja.
“Pelaksanaan program IOC ini adalah inisiatif proaktif pihak kolej bersama industri bagi memberi pendedahan persekitaran kerja sebenar kepada pelajar, sekali gus melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan TVET di pasaran kerja,” katanya lagi.
Tambahnya, kejayaan seorang graduan memperoleh peluang pekerjaan pada hari konvokesyen turut memperlihatkan bagaimana kerjasama strategik dengan industri boleh diterjemahkan kepada prospek kerjaya sebenar.
“Kejayaan graduan mendapat tawaran pekerjaan pada hari konvokesyen ini menterjemahkan kualiti pendidikan di Kolej Komuniti yang bukan sahaja relevan, malah menepati standard serta kehendak industri, selari dengan aspirasi pemerkasaan agenda ‘TVET For ALL’,” tambahnya.
Oleh Earl Anek





