ESOK merupakan hari yang penuh bersejarah bagi kita sebagai rakyat Malaysia. Tanggal 16 September diperingati sebagai Hari Malaysia dan diisytiharkan sebagai cuti umum bagi mengenang pembentukan Persekutuan Malaysia.
Perjalanan menuju pembentukan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai cabaran dan rintangan terpaksa ditempuhi, malah pada suatu ketika proses pembentukannya hampir menemui jalan buntu.
Namun, semangat untuk mencapai kemerdekaan dalam kalangan rakyat Sarawak dan Sabah terus mendorong usaha merealisasikan pembentukan Malaysia. Sebahagian besar penduduk di kedua-dua wilayah ini memberikan sokongan terhadap rancangan berkenaan.
Perjanjian Malaysia kemudiannya ditandatangani pada 9 Julai 1963, manakala 31 Ogos 1963 ditetapkan sebagai tarikh asal pembentukan Malaysia.
Bagaimanapun, perjalanan menuju tarikh tersebut tidak semudah yang dirancang. Tentangan yang muncul bukan sahaja berkaitan dengan perkembangan di dalam wilayah yang terlibat, malah turut datang dari negara-negara jiran.
Bantahan
Indonesia dan Filipina merupakan dua negara jiran yang tidak menyokong pembentukan Malaysia kerana mempunyai alasan masing-masing. Indonesia melihat Malaysia sebagai satu bentuk penjajahan gaya baharu. Filipina pula menuntut Sabah sebagai wilayahnya.
Tunku Abdul Rahman ketika itu cuba menyelesaikan isu ini dengan cara diplomatik. Beliau tidak mahu berlaku sebarang jalan perang sebagai penyelesaiannya.

Maka beliau hadir dalam Sidang Kemuncak Manila dari 30 Julai hingga 5 Ogos bersama-sama Presiden Sukarno dari Indonesia dan Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina.
Persidangan tersebut merupakan inisiatif Presiden Diosdado Macapagal yang menjemput kedua-dua pemimpin berkenaan untuk bertemu bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terhadap pertikaian yang timbul antara negara mereka.
Namun demikian, kebimbangan utama ketika itu adalah sama ada Presiden Sukarno akan memberikan jawapan untuk menghadiri sidang tersebut atau tidak. Kebimbangan tersebut akhirnya reda apabila pada sebelah malam 28 Julai 1963, Presiden Sukarno bersetuju untuk menghadiri sidang berkenaan.
Dalam hal ini Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Tanah Melayu iaitu Ghazali Shafie menekankan perlunya Presdien Sukarno hadir dalam mesyuarat tersebut. Ini kerana di sidang itulah katanya Tunku akan menjelaskan perkara-perkara yang tidak jelas kepada persoalan-persoalan negara jiran tersebut.
Sidang Kemuncak tersebut berlangsung di Dewan Negara yang bersiling tinggi di Istana Malacañang, sebuah istana lama peninggalan zaman pemerintahan Sepanyol.
Istana tersebut turut berfungsi sebagai kediaman rasmi dan pejabat Presiden Filipina. Selain tiga ketua negara yang menghadiri persidangan itu, wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Alfred Mackenzie, turut hadir atas jemputan sebagai pegawai penyelaras kepada Setiausaha Agung PBB, U Thant.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Ganis Harsono, membuat spekulasi bahawa Presiden Sukarno berkemungkinan meninggalkan persidangan tersebut sekiranya Tunku Abdul Rahman tidak menghormati semangat Persetujuan Tokyo dan persefahaman yang telah dicapai antara menteri-menteri luar ketiga-tiga negara pada bulan sebelumnya.
Namun demikian perkara itu tidak berlaku dan Presiden Sukarno bersama-sama delegasinya terus menghadiri sidang tersebut sehingga tamat.
Persetujuan
Pada hari pertama persidangan Tunku memulakan usaha diplomasi berjumpa dengan Presiden Sukarno di Manila. Pertemuan antara kedua-dua pemimpin ini berlangsung selama 20 minit, dan dilaporkan perbincangan antara mereka dalam suasana yang baik dan harmoni.
Difahamkan juga oleh wartawan bahawa Presdien Sukarno berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Tunku.
Dalam perbincangan tersebut, ketiga-tiga pemimpin berikrar untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat antara negara masing-masing. Pertemuan pada hari pertama berlangsung dalam suasana yang baik dan mesra, sekali gus mencerminkan hubungan persahabatan antara ketiga-tiga pemimpin berkenaan.
Tunku dan Presiden Sukarno turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden Macapagal atas inisiatif beliau menganjurkan pertemuan tersebut.
Ketiga-tiga pemimpin tersebut mengadakan perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertikaian yang timbul berhubung rancangan pembentukan Malaysia.
Hasil perbincangan itu, mereka mencapai persetujuan untuk meminta PBB menghantar satu misi ke Sarawak dan Sabah bagi meninjau serta memastikan kehendak penduduk kedua-dua wilayah tersebut terhadap pembentukan Malaysia.
Bagi merealisasikan persetujuan tersebut, ketiga-tiga pemimpin bersetuju untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada Setiausaha Agung PBB agar misi berkenaan dapat dilaksanakan.
Sejurus selepas persetujuan tersebut dicapai, wakil PBB, iaitu Mackenzie, terus berhubung dengan U Thant mengenai Perkara 10 berkenaan tinjauan PBB untuk menentukan nasib sendiri (self-determination) bagi rakyat di kedua-dua wilayah tersebut.
Di samping itu, ketiga-tiga pemimpin bersetuju menandatangani Kenyataan Bersama bagi menerima cadangan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar dan Deklarasi Manila mengenai penubuhan MAPHILINDO.
Perbezaan
Dalam hal persetujuan itu juga kedua-dua presiden iaitu Presiden Sukarno dan Presiden Macapagal akan mengiktiraf Malaysia jikalau rakyat di Borneo (Sarawak dan Sabah) menyokong rancangan Malaysia dibawah tinjauan PBB.
Bagaimanapun, terdapat dua kenyataan dan tafsiran berbeza antara pihak Indonesia dengan Tanah Melayu tentang persetujuan di Manila. Pegawai Indonesia mentafsirkan persetujuan tersebut sebagai ikrar PBB untuk mengadakan pungutan suara di Borneo (Sabah dan Sarawak), manakala Tunku Abdul Rahman bersetuju untuk menunda penubuhan Malaysia sehingga pungutan suara itu selesai dijalankan.
Namun, dalam satu kenyataan lain, Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa walaupun beliau bersetuju dengan kesepakatan tersebut, pembentukan Malaysia tetap akan dilaksanakan mengikut jadual asal, iaitu pada 31 Ogos 1963.
Bagaimanapun, Tunku akur dengan proses tinjauan PBB yang dijalankan di Sarawak dan Sabah. Ini kerana misi PBB ini menjalankan tugasnya pada pertengahan Ogos dan berlarutan sehingga awal September.
Akhirnya, pada 14 September 1963, laporan PBB dikeluarkan dan mengesahkan bahawa majoriti rakyat Sarawak dan Sabah menyokong pembentukan Malaysia.
Oleh itu, pengisytiharan penubuhan Malaysia diumumkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan, di Padang Merdeka (dahulunya Padang Sentral), Kuching.
Namun begitu, Indonesia menolak keputusan tersebut dan meneruskan konfrontasi bersenjata terhadap Malaysia.
Secara keseluruhannya, sejarah membuktikan bahawa pembentukan Malaysia bukanlah suatu proses yang mudah. Walaupun sebahagian besar rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju, terdapat tentangan dan keraguan dari negara luar.
Oleh yang demikian, amat penting untuk kita sebagai warga Malaysia sentiasa mempertahankan kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan yang dikecapi sehingga ke hari ini.
Selamat Hari Malaysia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





