Lelaki mengamuk selepas lamaran ditolak, hunus parang dan pukul kekasih

Facebook
WhatsApp
SUSPEK lelaki tempatan berusia 50 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota BSJD IPD Saratok kira-kira 3.00 petang, semalam. Foto IPD Saratok

SARATOK: Berang apabila hasrat untuk berkahwin ditolak, seorang lelaki bertindak agresif dengan menghunus parang sebanyak dua kali sebelum memukul kekasihnya menggunakan kayu palet dalam kejadian di sebuah kebun sawit di Kampung Nyabor, pada 10 September lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun dari Kabong itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) yang diketuai Inspektor Henry Muji pada kira-kira 3.00 petang, semalam.

Beliau berkata, suspek ditahan di tepi Jalan Dato Edward Jerah, Saratok selepas polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika pengadu, wanita berusia 35 tahun, bersama teman lelakinya berada di kebun sawit berkenaan sebelum tercetus pertengkaran apabila pengadu menolak hasrat suspek untuk berkahwin kerana masih belum bersedia.

“Suspek kemudian bertindak agresif dengan mengambil sebilah parang dari bonet keretanya lalu menghunuskannya ke arah pengadu sebanyak dua kali.

“Bagaimanapun, pengadu berjaya mengelak serangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DSP Mathew berkata, suspek kemudiannya memukul pengadu menggunakan kayu palet sehingga menyebabkan kecederaan pada jari kiri, luka pada tangan kanan serta lebam di bahagian belakang badan.

Menurutnya, suspek turut mengaku mengugut untuk membunuh pengadu sekiranya mendapati wanita itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Hasil siasatan mendapati suspek dan pengadu merupakan pasangan kekasih yang telah menjalinkan hubungan selama kira-kira lapan tahun.

“Pengadu bagaimanapun tidak bersedia untuk berkahwin dengan suspek kerana mendakwa suspek seorang yang panas baran selain sering terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap suspek turut didapati positif amphetamine (Amp) dan methamphetamine (Meth).

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan, manakala suspek telah ditangkap dan kes berkenaan kini dianggap selesai.

Oleh Adi Safarman