Kerajaan Sarawak tanggung pendidikan Euodia hingga bergelar doktor

Facebook
WhatsApp
AMANAT...Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

MIRI: Kerajaan Sarawak akan menanggung kos pendidikan Euodia, anak kepada mendiang jururawat Debra Moset yang terkorban dalam tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, sehingga beliau berjaya bergelar doktor.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata keputusan itu dibuat selepas beliau membaca luahan Euodia yang berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi merealisasikan impiannya menjadi doktor serta meneruskan legasi dan pengorbanan ibunya.

“Saya terbaca hari ini mengenai seorang anak yang kehilangan ibunya. Ibunya seorang jururawat bernama Debra. Anaknya mengatakan bahawa beliau akan belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang doktor dan meneruskan pengorbanan ibunya.

“Dan kepada anaknya bernama Euodia, Kerajaan Sarawak akan menanggung pelajaran beliau hingga menjadi doktor. Begitu juga dengan anak-anak mangsa yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara di Stadium Tertutup Miri, hari ini.

Euodia merupakan anak kepada Jururawat Terlatih (SN) Debra Moset, yang merupakan antara lima mangsa tragedi nahas helikopter berkenaan pada 8 September lalu.

Terdahulu, Euodia menerusi luahan di media sosial berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga bergelar ‘Dr Euodia’ demi ibunya.

Dalam hantaran itu, Euodia turut berkongsi bahawa minatnya untuk mengikuti aliran sains di sekolah tercetus hasil dorongan ibunya.

“Kalau bukan sebab mommy, kakak tidak akan minat dengan aliran sains. Dulu mommy suruh kakak masuk aliran sains supaya kakak senang mendapat pekerjaan,” katanya.

Euodia berkata, impiannya untuk bergelar doktor adalah demi meneruskan legasi dan pengorbanan ibunya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kehilangan insan tersayang, khususnya ibu atau bapa, tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, namun kerajaan Sarawak akan terus memberikan bantuan kepada keluarga mangsa.

“Nilai nyawa, kehilangan bapa, kehilangan ibu tidak dapat dinilaikan dengan wang ringgit, tetapi Kerajaan Sarawak memberi bantuan kepada keluarga mereka,” katanya.

Menurutnya, tragedi berkenaan turut menguatkan tekad kerajaan Sarawak untuk mencari kaedah alternatif dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Inilah yang memberi saya semangat untuk mencari jalan alternatif bagi kita memberikan khidmat kepada rakyat di luar bandar, lebih-lebih lagi di pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak komited memastikan anak-anak mangsa tragedi itu mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya sebagai kesinambungan kepada pengorbanan ibu bapa mereka.

Oleh Liong Chai Ling

Suasana pilu iringi kepulangan mendiang Debra

PADAWAN: Suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mendiang Debra Moset apabila jenazah jururawat yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS)