SANTUBONG: Penyertaan sebagai vendor di Festival Muzik Borderland memberi peluang kepada peniaga makanan tempatan memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung yang lebih pelbagai, termasuk pelancong asing.
Bagi pemilik Thai Midai, Nur Asmida, 25, penyertaan dalam festival itu bermula selepas beliau mencuba nasib mendaftar sebagai vendor sebelum menerima makluman bahawa permohonannya terpilih.
“Pada mulanya, saya cuba sahaja mendaftar sebagai vendor. Penganjur memaklumkan bahawa mereka akan menghubungi peserta yang terpilih. Saya tidak menyangka akan terpilih, tetapi akhirnya menerima makluman bahawa permohonan saya berjaya,” katanya.
Menurutnya, sambutan pengunjung terhadap gerainya adalah baik, dengan hidangan somtam berasaskan resipi Thailand menjadi produk paling laris.
“Sambutan pengunjung juga menggalakkan. Somtam merupakan produk paling laris kerana menggunakan resipi dari Thailand,” katanya.
Nur Asmida berkata, antara pengalaman menarik sepanjang berniaga ialah apabila pelanggan yang membeli makanan turut membantu mempromosikan gerainya kepada orang lain.
“Semasa berniaga, ada pelanggan yang membeli makanan kami, malah turut mempromosikannya kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan yang disediakan penganjur setakat ini adalah memuaskan, selain berharap penganjuran akan datang terus memberi ruang kepada vendor memperbaiki pengalaman dan operasi perniagaan mereka.
Sementara itu, seorang lagi vendor, Norman Ross Moneng, 22, yang mengendalikan gerai Chill House Western, berkata penyertaannya pada Festival Muzik Borneo merupakan pengalaman pertama beliau sebagai vendor di festival berkenaan.
Menurutnya, suasana festival yang meriah serta kehadiran pengunjung tempatan dan asing membuka peluang untuk memperkenalkan makanan dan mengembangkan perniagaan.
“Saya percaya suasana di sini sangat baik. Ia memberi banyak peluang kepada orang ramai mencuba makanan kami, selain membantu mengembangkan perniagaan.
“Ramai juga pengunjung dari luar negara,” katanya.
Norman berkata, Chill House Western menawarkan burger ikan, daging dan ayam, selain nasi bersama chicken chop, dengan hot dog menjadi produk paling laris sepanjang festival.
“Jualan setakat ini baik kerana ramai pengunjung mahu mencuba makanan atau mendapatkan snek ringkas sebelum masuk ke kawasan festival,” katanya.
Beliau yang masih bergelar pelajar dan bekerja dengan perniagaan berkenaan berkata, penyertaan dalam acara seperti itu penting kerana Chill House Western tidak beroperasi sebagai gerai tetap setiap masa.
“Bagi saya, ia memberi banyak pendedahan. Kami biasanya hanya beroperasi ketika acara, jadi apabila ada peluang menyertai festival seperti ini, kami akan cuba mengambil bahagian,” katanya.
Mengulas kemudahan vendor, Norman mencadangkan supaya sinki disediakan lebih dekat dengan setiap gerai bagi memudahkan urusan peniaga.
“Kalau boleh, ada sinki di belakang gerai kerana sekarang sinki agak jauh. Dari segi lokasi, mungkin itu yang boleh diperbaiki.
“Namun, secara keseluruhan saya rasa penganjuran ini bagus. Ruang yang disediakan juga luas,” katanya.
Kedua-dua vendor itu melihat festival berkenaan bukan sekadar platform jualan makanan, tetapi turut menjadi ruang memperluas jaringan pelanggan, mendapatkan pendedahan dan menguji penerimaan pasaran terhadap produk masing-masing.
Oleh Afiq Sallehi





