Bakat golongan berkeperluan khas perlu diberi peluang

Facebook
WhatsApp
RAKAMAN gambar kenangan Dato Peter Minos (dua dari kanan) di The Gifted Art Gallery KATSN, Plaza Merdeka bersama Dato Sim Kiang Chiok, Penasihat KATSN (kanan) dan Pegawai Bertanggungjawab, Amy Lee (dua dari kiri), serta wakil Plaza Merdeka Mr McArthur Kalud.

KUCHING: Bakat golongan berkeperluan khas perlu terus diberi peluang untuk diketengahkan, termasuk melalui bidang seni dan aktiviti kreatif.

Pengerusi Majlis Daerah Serian (MDS), Dato Peter Minos berkata, karya yang dipamerkan pada edisi kelima The Gifted Art Gallery 2026 di Plaza Merdeka bukan sekadar hasil seni, sebaliknya mencerminkan kreativiti, ketekunan, keyakinan dan kebolehan golongan berkenaan.

“Penganjuran galeri berkenaan oleh KATSN turut menyediakan platform kepada individu berkeperluan khas untuk menampilkan kebolehan mereka, membina keyakinan serta mendapat pengiktirafan berdasarkan kemampuan dan bakat masing-masing.

“Seni, muzik, tarian dan aktiviti kreatif lain boleh menjadi ruang penting bagi individu berkeperluan khas untuk menyampaikan perasaan dan berhubung dengan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Edisi kali ini menampilkan lapan artis berbakat iaitu Dave Hwang, Steven Hwang, Rachel Lee, Kelvin Li, Alister Sim, Tommy Tie, Darryon Leong dan Damian Clarke.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyokong artis terbabit dengan membeli hasil serta barangan jualan mereka sepanjang pameran.

“Sokongan itu bukan sekadar membeli cenderamata, tetapi turut membantu mewujudkan pasaran untuk hasil karya mereka dan memberi peluang kepada golongan berkenaan untuk mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata usaha KATSN kini turut berkembang daripada penganjuran pameran seni kepada pembangunan kemahiran menerusi Program Pembangunan KATSN dan menerusi lima program pembangunan kemahiran dalam bidang masakan, kraftangan, seni, sukan dan jahitan.

“Aktiviti seperti penyediaan makanan, kraftangan, menjahit, melukis, sukan dan kemahiran hidup boleh menjadi asas kepada pembinaan keyakinan, kebebasan diri serta peluang pekerjaan atau menjana pendapatan.

“Sokongan terhadap golongan berkeperluan khas tidak seharusnya terhenti selepas mereka meninggalkan alam persekolahan atau memasuki usia dewasa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Sarawak memerlukan sistem sokongan menyeluruh yang merangkumi intervensi awal, pendidikan, latihan kemahiran, pekerjaan, kehidupan dewasa serta penjagaan pada usia lanjut.

“Golongan ibu bapa dan penjaga tidak akan berada bersama mereka selama-lamanya.

“Oleh itu, kita perlu memikirkan keperluan mereka sepanjang kehidupan bagi memastikan komuniti berkeperluan khas dapat menikmati keselamatan, maruah, tujuan hidup dan kualiti kehidupan,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik usaha Kerajaan Sarawak dan agensi berkaitan dalam memperkukuh intervensi awal serta membangunkan kemudahan dan perkhidmatan lebih menyeluruh untuk golongan berkeperluan khas.

Beliau turut mengiktiraf usaha Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, termasuk peluasan Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC).

“Perancangan membangunkan Pusat Komuniti Keperluan Khas di Samarahan yang merangkumi latihan, pembangunan vokasional, pembangunan bakat dan penjagaan jangka panjang juga merupakan langkah penting dalam memenuhi keperluan komuniti berkenaan.

“Dokongan terhadap golongan berkeperluan khas perlu dilihat bukan hanya dari sudut kebajikan, tetapi juga pembangunan, pemerkasaan dan keterangkuman,” tambahnya.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Plaza Merdeka atas sokongan berterusan terhadap KATSN dan The Gifted Art Gallery dengan menyediakan ruang awam untuk golongan berkenaan mengetengahkan hasil karya mereka.

The Gifted Art Gallery 2026 berlangsung dari 11 hingga 20 September di Plaza Merdeka dan turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk muzik, tarian, bengkel kreatif, seni terapi, kraftangan bahan kitar semula, aktiviti kecergasan serta pembuatan tanglung.

Kuching City benam Melaka 2-1

MELAKA: Kuching City FC mencipta kemenangan bergaya apabila menewaskan Melaka dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Hang Tuah, malam