SARATOK: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak terus memperkukuh pemantauan terhadap operasi loji rawatan air bagi memastikan bekalan air kepada komuniti setempat kekal berada pada tahap optimum.
Sehubungan itu, Pemangku Pengarah JBALB Sarawak, Ir. Tamida Da’adi, mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air (LRA) Spaoh dan LRA Lichok, dekat sini semalam.
Lawatan berkenaan bertujuan meninjau secara dekat status serta keadaan pengoperasian semasa kedua-dua loji, selain memastikan sistem bekalan air sentiasa dipantau dan langkah operasi bersesuaian dapat dilaksanakan mengikut keperluan di kawasan terlibat.
Sepanjang lawatan, Tamida turut meninjau kemudahan serta komponen operasi loji, di samping mendapatkan penerangan mengenai situasi semasa dan keadaan operasi di lapangan.
Taklimat berkaitan status pengoperasian kedua-dua loji disampaikan oleh Jurutera Air Bahagian Betong, Andres Inchatekoster Anyap.
Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB Sarawak, Ts. Aaron Gorino, bersama pegawai dan kakitangan JBALB Bahagian Betong.
Lawatan tersebut memperlihatkan komitmen berterusan pihak pengurusan JBALB Sarawak dalam memastikan aspek pengoperasian loji serta penyampaian perkhidmatan bekalan air sentiasa diberi perhatian.
Usaha pemantauan secara berterusan itu penting bagi memastikan keperluan bekalan air penduduk di kawasan terlibat dapat ditangani dengan sewajarnya, sekali gus menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan kepada komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman





