SANTUBONG: Festival Borderland berpotensi berkembang sebagai salah satu jenama pelancongan baharu Sarawak yang mampu menarik pengunjung dari luar negeri menerusi tarikan muzik elektronik dan konsep festival berskala besar.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran festival itu yang kini memasuki edisi keempat menunjukkan sambutan memberangsangkan, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Menurutnya, Borderland juga mempunyai potensi untuk berkembang sehingga mampu berdiri sebaris dengan acara muzik terkenal seperti Festival Muzik Dunia Hutan Hujan (RWMF) pada masa akan datang.
“Saya dapat melihat ini boleh menjadi satu penjenamaan baharu, selain RWMF, yang pada masa depan mampu membawa ramai orang datang dan bersatu melalui muzik.
“Bukan sahaja dari Kuching atau Sarawak, tetapi orang dari luar Kuching dan luar Sarawak juga boleh datang untuk acara ini,” katanya ketika ditemui pada Festival Borderland di Kampung Budaya Sarawak, malam tadi.
Snowdan berkata, melihat sendiri sambutan terhadap edisi keempat festival itu apabila kira-kira 9,000 pengunjung hadir pada malam pertama.
Katanya, jumlah berkenaan berpotensi meningkat pada malam kedua yang berlangsung hari ini, terutama dengan hari berikutnya merupakan cuti umum.
“Kalau malam ini sekitar 9,000 pengunjung, mungkin esok lebih ramai, mungkin 11,000 atau 12,000 orang. Kita tidak tahu, tetapi esok malam Sabtu dan biasanya sambutan lebih besar,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran Borderland membuktikan golongan muda tempatan mempunyai keupayaan untuk menganjurkan acara berskala besar yang mampu menarik ribuan pengunjung.
“Ini baharu tahun keempat dan tahun depan sudah edisi kelima. Sambutannya sangat baik.
“Saya sangat bangga dan gembira melihat golongan muda boleh menganjurkan Borderland dengan kapasiti seperti ini walaupun acara ini masih baharu,” katanya.
Snowdan berkata, beliau turut berkesempatan hadiri pada edisi tahun lalu dan menyaksikan jumlah pengunjung mencecah lebih 12,000 orang pada malam kedua.
Mengulas kebimbangan mengenai keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak ketika ini, beliau berkata, keadaan di kawasan Damai dilihat tidak menjejaskan penganjuran festival berkenaan.
“Saya tidak fikir jerebu menjejaskan konsert kerana bacaan IPU di sini agak rendah. Ini kawasan Damai dan saya fikir keadaannya masih baik,” katanya.
Menurutnya, pihak penganjur juga mengambil kira keadaan setempat sebelum meneruskan penganjuran festival tersebut selepas menerima permintaan daripada pemegang tiket dan penyokong supaya acara itu diteruskan.
Snowdan berkata, potensi Borderland sebagai produk pelancongan turut dapat dilihat menerusi keupayaannya menarik bukan sahaja golongan muda, malah pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional.
Katanya, konsep muzik elektronik (EDM) mempunyai daya tarikan tersendiri dan berupaya menyatukan masyarakat melalui muzik.
Beliau turut mengambil contoh Tomorrowland di Belgium yang berjaya berkembang menjadi festival muzik bertaraf antarabangsa dengan kehadiran puluhan ribu pengunjung dari seluruh dunia.
“Seperti Tomorrowland di Belgium, mereka membawa puluhan ribu pengunjung dari seluruh dunia dan perkara itu secara automatik akan membantu meningkatkan sektor pelancongan,” katanya.
Snowdan berkata, perkembangan Borderland perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, khususnya dari segi potensinya untuk menjadi salah satu acara yang mampu menyumbang kepada industri pelancongan Sarawak pada masa depan.
Oleh Afiq Sallehi





