KUALA LUMPUR, 11 November: Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida, menerima lamaran penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob, dalam satu kejutan romantis yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), malam tadi.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, menyatakan persetujuannya dengan jawapan spontan, “Yes, yes dan yes!”, sekali gus mencuri perhatian tetamu yang menyaksikan detik istimewa itu.
Lamaran berkenaan diserikan dengan pertunjukan kira-kira 1,200 dron yang membentuk mesej romantis “Nak Duduk Ipoh ke KL?”, selain pemberian sebentuk cincin eksklusif berbentuk tiara bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel.
Keseluruhan kejutan itu dilaporkan menelan kos kira-kira RM500,000.
Fazley bagaimanapun menjelaskan bahawa cincin berkenaan bukan cincin pertunangan rasmi, sebaliknya sebagai simbol kesungguhannya untuk membawa hubungan mereka ke peringkat lebih serius.
Anak-anak kedua-dua pihak turut hadir menyaksikan detik berkenaan.
Hubungan Fazley dan Vida mula mendapat perhatian selepas kedua-duanya terlibat dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).
Perkenalan itu kemudiannya berkembang sehingga mencetuskan perhatian ramai terhadap hubungan istimewa mereka.
Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman pernah melalui tiga perkahwinan yang berakhir dengan perceraian.
Perkahwinan pertamanya bersama Mohd Amin Yasin pada 2000 dikurniakan empat anak sebelum mereka bercerai pada 2008. Beliau kemudian dilaporkan berkahwin dengan Azid Hamzah pada 2014, namun hubungan itu tidak bertahan lama.
Pada tahun sama, Vida mendirikan rumah tangga dengan Fairuz Ahmad Zainuddin, tetapi perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada April 2017.
Pada 2021, beliau turut pernah merancang untuk berkahwin dengan bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli, namun perancangan itu tidak menjadi kenyataan.
Datuk Fazley Yaakob sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan Azrene Soraya Abdul Aziz pada 7 November 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata. Bagaimanapun, perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian pada 2024 selepas 18 tahun bersama. Meskipun berpisah, kedua-duanya kekal menjalin hubungan baik demi membesarkan anak-anak.




