AZAM-IPRM buka laluan tubuh IPRM Sarawak Chapter

Facebook
WhatsApp
PERTUKARAN dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara AZAM Sarawak dan IPRM sempena The PR Show 2026 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh profesionalisme serta jaringan pengamal perhubungan awam (PR) di Sarawak, sekali gus membuka laluan kepada penubuhan IPRM Sarawak Chapter.

Pemeteraian MoU itu berlangsung sempena The PR Show 2026 di sini, hari ini, dengan kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada pembangunan profesional, peningkatan kompetensi serta perkongsian kepakaran dan pengetahuan dalam bidang komunikasi.

Pengarah IPRM Sarawak, Sahrein Maloh, berkata penubuhan Sarawak Chapter akan menyediakan platform lebih tersusun kepada pengamal PR dan komunikasi untuk membina jaringan, berkongsi kepakaran serta mengikuti program pembangunan profesional.

Menurutnya, platform itu juga dapat menghimpunkan pengamal daripada sektor awam, korporat, media, agensi dan institusi pendidikan, selain menghubungkan mereka dengan jaringan profesional IPRM di peringkat nasional.

Beliau berkata, perkembangan kecerdasan buatan (AI) turut menjadikan peranan pengamal PR semakin penting dalam mempertahankan kredibiliti, etika dan kepercayaan awam.

“AI mungkin mampu menghasilkan kandungan dalam jumlah tidak terhad dalam masa yang singkat, tetapi ia tidak mampu menghasilkan kredibiliti.

“Dalam persekitaran yang dipenuhi kandungan digital dan keraguan terhadap maklumat, perhubungan awam bukan lagi sekadar mengenai keterlihatan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam mempertahankan kebenaran, etika dan kepercayaan manusia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Strategik AZAM Sarawak, Mohd Hassnal Hakim Junaidi, berkata kerjasama itu bukan sekadar membina jaringan institusi, malah penting dalam meningkatkan kompetensi tenaga kerja yang melaksanakan fungsi komunikasi.

“Bagi AZAM, komunikasi adalah sebahagian daripada fungsi utama kami. Sebab itu, jika kita mahu komunikasi yang lebih berkesan, kita juga perlu melabur dalam orang yang melaksanakannya.

“Kerjasama dengan IPRM memberi peluang kepada warga kerja AZAM untuk terus meningkatkan kompetensi dan belajar daripada jaringan profesional yang lebih luas. Pada masa sama, kita mahu peluang itu turut sampai kepada generasi seterusnya melalui AZAM Young Souls,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga perlu memberi manfaat kepada komuniti PR dan komunikasi yang lebih luas di Sarawak dengan membuka lebih banyak ruang untuk pengamal bertemu, berkongsi pengalaman dan membina jaringan.

Jelasnya, AZAM turut akan memanfaatkan kerjasama berkenaan untuk meningkatkan keupayaan warga kerjanya dalam bidang komunikasi strategik, hubungan media, pengurusan isu dan reputasi, komunikasi krisis serta penglibatan pihak berkepentingan.

Pada masa sama, AZAM Young Souls (AYS) akan menjadi antara platform untuk memberi pendedahan kepada generasi muda melalui perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran dan bimbingan bersama pengamal industri.

Pemeteraian MoU itu menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang AZAM dan IPRM dalam membangunkan ekosistem perhubungan awam Sarawak yang lebih profesional dan berdaya saing.