50 pemegang taruh gerakkan penyelidikan ke arah pasaran

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Roland Sagah Wee Inn ketika berucap pada majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Sebanyak 50 pemegang taruh (stakeholders) daripada industri, penyelidik dan kerajaan dihimpunkan menerusi sesi meja bulat bagi memperkukuh hubungan industri-penyelidikan serta mewujudkan laluan lebih jelas daripada makmal kepada pengkomersialan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sesi tersebut merupakan antara langkah awal dalam pembangunan Pelan Hala Tuju Bioekonomi Sarawak yang sedang dirangka menerusi kerjasama antara Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dengan BioVerde Technologies Sdn Bhd (BVT).

Menurut beliau, pelan berkenaan akan menyelaraskan hasil penyelidikan dengan keperluan pasaran selain memperkukuh hubungan antara pemain industri dan penyelidik.

“Pelan berkenaan bakal dilaksanakan secara berorientasikan tindakan bagi melengkapi, bukannya menduplikasi, inisiatif sedia ada dan memastikan pembangunan bioekonomi Sarawak memenuhi keutamaan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, sesi meja bulat itu turut bertujuan mengukuhkan hubungan antara pemain industri dan penyelidik serta memastikan hasil penyelidikan dapat memenuhi keperluan pasaran.

“Penyelidikan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan penerbitan atau penemuan, sebaliknya perlu menyelesaikan masalah, mewujudkan peluang dan memberi manfaat kepada masyarakat serta ekonomi,” ujarnya. 

Jelasnya, Sarawak mempunyai kekayaan biodiversiti, sumber asli dan kumpulan bakat yang semakin berkembang, namun cabarannya adalah mengubah aset tersebut menjadi pengetahuan, inovasi, industri baharu dan peluang kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC), selaku penganjur bersama SHInE 2026, turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan penyelidikan bioperubatan dan penyakit berjangkit di negeri ini.

Menurutnya, SIDC menyediakan platform kepada penyelidik Sarawak untuk berhubung dengan rangkaian penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menterjemahkan hasil kajian kepada penyelesaian.

Katanya, golongan muda bukan sekadar penerima manfaat daripada ekosistem inovasi sedia ada, tetapi bakal memainkan peranan dalam membentuk hala tuju inovasi Sarawak pada masa hadapan.

Roland berkata, SHInE kini berkembang daripada sebuah platform untuk penerima geran SRDC berkongsi hasil penyelidikan kepada platform yang semakin menghubungkan penyelidik dan rakan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, perkembangan tersebut selaras dengan aspirasi Sarawak untuk membina ekosistem penyelidikan dan inovasi yang lebih berhubung, berpandangan ke luar serta memberi tumpuan kepada impak.

“Momentum SHInE 2026 perlu diteruskan dengan memperkukuh jaringan yang telah dibina, memperluas kerjasama dan memastikan pengetahuan yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada impak sebenar,” katanya. 

Oleh Adele Rissa 

AZAM-IPRM buka laluan tubuh IPRM Sarawak Chapter

KUCHING: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh profesionalisme serta

Tiga kawasan catat IPU sangat tidak sihat

KUCHING: Keadaan kualiti udara di Sarawak terus merosot apabila tiga stesen pemantauan merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sangat