MIRI: Seorang lelaki maut selepas dua buah lori terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pan Borneo, laluan Bintulu-Miri, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira 2.33 petang itu, mangsa merupakan antara enam individu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, mangsa yang maut ditemui tersepit di dalam kenderaan dengan kecederaan parah termasuk luka dan patah tulang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Empat lagi mangsa dilaporkan selamat, dengan seorang mengalami kecederaan ringan pada mulut, seorang mengalami luka di kepala dan seorang lagi mengalami bengkak pada tangan kiri.
Seorang mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang lagi telah dikeluarkan dari kenderaan dan dibawa menggunakan ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Liong Chai Ling




