Perodua Viva terbabas ke dalam gaung di Kampung Pejiru

Facebook
WhatsApp
KEADAAN sebuah Perodua Viva yang terbabas ke dalam gaung di Kampung Pejiru, Jalan Serikin-Bau, petang tadi. Foto JBPM

BAU, 5 November: Sebuah kereta jenis Perodua Viva terbabas ke dalam gaung dalam kemalangan jalan raya kendiri di Kampung Pejiru, Jalan Serikin-Bau, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.59 petang.

Menurut kenyataan itu, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan EMRS dikerahkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 4.08 petang dan menjalankan pemeriksaan di dalam kenderaan bagi memastikan tiada mangsa terlibat.

Hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa berada di lokasi kejadian.

Pasukan bomba turut menjalankan tindakan menstabilkan kawasan sekitar sebelum memastikan keadaan selamat dan terkawal.

Operasi dikawal pada 4.39 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada 4.46 petang.