SIBU, 13 November: Dua lelaki cedera selepas kereta jenis Perodua Myvi dan Toyota Hilux bertembung dalam kemalangan di Jalan Bulatan Paradom di sini, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.17 pagi sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan dua buah kereta, iaitu Perodua Myvi berwarna oren dan Toyota Hilux berwarna hitam, dengan kedua-dua pemandunya mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pemandu Myvi mengalami kecederaan pada paha kanan, manakala pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan ringan di bahagian muka.
Menurutnya, pemandu Myvi berjaya dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan anggota bomba dan disahkan tidak tersepit.
“Kedua-dua mangsa yang merupakan lelaki dewasa kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sibu bagi pemeriksaan dan rawatan,” katanya.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian menggunakan semburan hos reel bagi membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan itu.
Oleh Tarani Lanting





