MIRI: Empat individu terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah lori panjang di Lebuh Raya Pan Borneo, laluan Bintulu-Miri, petang ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.33 petang.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi dan tiba pada 2.52 petang.
“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kemalangan membabitkan empat mangsa iaitu seorang mangsa tidak mengalami kecederaan, seorang cedera, seorang cedera parah dan seorang lagi masih tersepit serta tidak sedarkan diri di dalam kenderaan.

“Pasukan bomba masih berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit, manakala tiga mangsa lain diserahkan kepada pasukan kesihatan untuk mendapatkan rawatan,” menurut kenyataan itu.
Operasi menyelamat masih dijalankan ketika ini.
Oleh Liong Chai Ling





