JAKARTA: Komuniti media Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakan sejawat di Indonesia ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan lima petugas media yang hilang ketika membuat liputan letusan Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda.
Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Malaysia Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata seluruh komuniti media di negara ini bersimpati dengan rakan sejawat di Indonesia dan berharap lima petugas media itu serta tiga kru bot yang bersama mereka ditemukan dengan selamat.

“Kami di ISWAMI memantau rapat perkembangan misi SAR ini. Doa serta ingatan kami sentiasa mengiringi kelima-lima rakan media serta tiga kru kapal yang bersama mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.
Lima petugas media berkenaan ialah Muhammad Bagus Khoirunnas daripada agensi berita nasional Indonesia Antara, Arie Basuki (Merdeka.com), Yudistiro Pranoto (iNews), Firdaus Wajidi (Anadolu Agency) dan wartawan bebas Donal Husni.
Mereka terputus hubungan sejak Isnin ketika membuat liputan letusan Anak Krakatau di sekitar Pulau Sebesi, Lampung, bersama tiga kru bot di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera.
Ahmad Zaini turut menghargai komitmen pihak berkuasa Indonesia, termasuk Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL), yang mengerahkan aset dalam operasi pencarian, sambil berharap usaha itu terus dipergiat sehingga kesemua mereka dapat ditemukan dengan selamat.
Beliau berkata insiden itu turut menjadi peringatan mengenai risiko tinggi yang dihadapi petugas media ketika membuat liputan di kawasan bencana, sekali gus menekankan kepentingan protokol keselamatan yang ketat bagi mereka yang bertugas di kawasan berbahaya.

Dalam pada itu, Koresponden Bernama di Indonesia, Nik Nurfaqih Nik Wil, turut menyampaikan rasa simpati secara peribadi kepada Direktur Utama Antara, Benny Butarbutar, berhubung kehilangan seorang petugas agensi berita itu, serta berharap operasi SAR dipermudahkan dan kesemua mereka ditemukan dengan selamat.
Benny menyampaikan penghargaan atas keprihatinan itu dan memaklumkan bahawa operasi SAR masih diteruskan, dengan pihak Antara turut mengikuti rapat perkembangan pencarian di lapangan.
Sementara itu, Biro Pers, Media dan Informasi Sekretariat Presiden (BPMI Setpres) dalam kenyataan memaklumkan Presiden Indonesia Prabowo Subianto mengarahkan TNI AL supaya segera melakukan pencarian selepas menerima laporan pada Isnin malam bahawa rombongan berkenaan terputus hubungan.
Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya berkata Prabowo mengarahkan Ketua Staf Angkatan Laut supaya segera menggerakkan aset, dengan 11 kapal gabungan dikerahkan dalam operasi pencarian setakat Khamis, termasuk tiga kapal perang TNI AL iaitu KRI Leuser-924, KRI Kerambit-627 dan KRI Lepu-861. – Bernama



