SIBU: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie membantu dua keluarga yang memerlukan di Jalan Hua Lai, Sungai Bidut mendapatkan bantuan kebajikan.
Terdahulu petang semalam, Lau bersama bersama Ketua Unit Kebajikan, Kapitan Tang Chuo Ging serta timbalannya Law Cheng Ching dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Igu melawat dua keluarga terbabit.
Menurutnya, lawatan berkenaan bertujuan untuk mengenal pasti keperluan segera kedua-dua keluarga menerusi perbincangan secara bersemuka.
“Salah sebuah keluarga mempunyai ahli yang menghidap autisme dan memerlukan penjagaan serta pemantauan harian yang rapi.
“Sebuah lagi keluarga pula terdiri daripada tiga adik-beradik warga emas yang tinggal bersama dan berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan harian serta kewangan disebabkan faktor usia,” jelasnya.
Beliau berkata, berdasarkan keadaan setiap keluarga, pihaknya akan membantu sebuah keluarga membuat permohonan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) serta bantuan kebajikan berkaitan.
Katanya, sebuah lagi keluarga akan dibantu memohon bantuan sara hidup bagi meringankan beban kewangan dan keperluan harian mereka.
“Cara turun padang begini penting untuk memahami keadaan sebenar yang dihadapi penduduk.
“Melalui komunikasi secara langsung dan mendengar sendiri masalah mereka, kita dapat memahami keperluan sebenar membantu mereka dengan saluran bantuan yang sesuai,” katanya.
Tambahnya, keprihatinan terhadap masyarakat bukan sekadar memberikan barangan atau menyampaikan bantuan, sebaliknya turut melibatkan usaha memastikan golongan memerlukan mendapat akses kepada bantuan yang bersesuaian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tang, Law dan ahli JKKK Bukit Igu atas penglibatan aktif dalam lawatan berkenaan serta usaha membantu keluarga memerlukan mendapatkan saluran bantuan.
Oleh Akun Giman



