Pemberian khas antara isu utama dibincangkan dalam mesyuarat MTPMA63 – PM Anwar

Facebook
WhatsApp
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini, yang antara lain membincangkan kajian semula Pemberian Khas Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, keselamatan sempadan, Borneonisasi perkhidmatan awam serta pertambahan kerusi Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak. Foto fb Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU:  Empat isu utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Anwar berkata isu tersebut merangkumi kajian semula Pemberian Khas Perkara 112D Perlembagaan  Persekutuan, pemerkasaan keselamatan sempadan, pertambahan perjawatan serta Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan dan pertambahan kerusi Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Beliau juga menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang setiap tahun, sebaliknya ia merupakan amanah serta iltizam nasional yang wajib dilunaskan dengan ikhlas, adil, dan penuh tanggungjawab.

“Apa yang telah dipersetujui harus dilaksanakan, manakala perkara yang masih belum selesai mesti terus dirunding dengan kebijaksanaan, keikhlasan dan semangat muafakat,” katanya menerusi pengkongsian di Facebook beliau hari ini.

Mesyuarat yang memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan persetujuan MA63 itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan juga komited membuka seluas-luasnya ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berteraskan semangat perpaduan bagi memastikan kemakmuran negara dirasai secara adil oleh seluruh rakyat. – Bernama