Pengorbanan nasionalis jadi nadi teater muzikal Hari Malaysia

Facebook
WhatsApp
ANTARA persembahan para peserta yang mengambil bahagian dalam latihan raptai teater muzikal ‘Malaysia MADANI Kesejahteraan Dinikmati’ yang bakal dipentaskan bersempena sambutan Hari Malaysia 16 September ini. Foto BERNAMA

KUCHING: Pengorbanan para nasionalis terdahulu yang mempertaruhkan jiwa raga, masa, dan harta benda dalam perjuangan membentuk Malaysia menjadi antara mesej utama teater muzikal ‘Malaysia MADANI Kesejahteraan Dinikmati’ yang bakal dipentaskan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, 16 September ini.

Pengarah produksinya Cikgu Zakaria Hassan berkata persembahan berdurasi kira-kira 18 minit itu turut mengangkat patriotisme, perpaduan dan kesepakatan sebagai asas penting pembentukan serta pembangunan negara.

“Setiap tahun kita menyambut Hari Malaysia dan selalunya kita berasa bahawa idea-idea untuk persembahan sambutan tersebut seolah-olah berulang.

“Bagaimanapun, kita sentiasa ingin mengangkat satu perkara amat penting, iaitu pengorbanan mereka yang mencurahkan masa, tenaga dan segalanya demi negara,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan teater muzikal berkenaan di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, baru-baru ini.

Zakaria berkata persembahan muzikal itu turut menjurus kepada pembangunan negara dengan menekankan perpaduan sebagai asas penting dalam memastikan Malaysia terus maju dan berjaya.

Beliau berkata mesej berkenaan diterjemahkan melalui gabungan lakonan, nyanyian, muzik dan tarian, berbeza daripada pendekatan persembahan Hari Malaysia, yang lazimnya mengetengahkan pantomim atau tarian.

“Gabungan tarian, lagu, nyanyian, lakonan dan muzik, termasuk penggunaan pelbagai bahasa serta bahasa etnik negara ini menjadikan persembahan ini satu medium lengkap menggambarkan kepelbagaian dan semangat perpaduan Malaysia,” katanya.

PENGARAH produksi teater muzikal ‘Malaysia MADANI Kesejahteraan Dinikmati’ , Cikgu Zakaria Hassan. Foto BERNAMA

Zakaria berkata persiapan persembahan dilakukan dalam tempoh lebih tiga minggu dengan penglibatan kira-kira 70 individu, termasuk pelakon, kru produksi, dan pemuzik.

Antara barisan pelakon terlibat ialah penyanyi, pelakon dan pengacara TV Ahmad Azam Pit atau lebih dikenali sebagai Azam Pitt dan juga penyampai radio, pelakon, pengacara Sharifah Elya Nabila.

Beliau berkata keseluruhan tenaga produksi terdiri daripada anak Sarawak, sekali gus memberikan ruang untuk mengangkat serta mengasah bakat tempatan dalam industri persembahan pentas.

Sambutan Hari Malaysia 2026 pada 16 September ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini dengan kehadiran dijangka kira-kira 5,000 orang.

Tetamu kehormat untuk sambutan itu ialah Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

Sambutan itu juga dijadual dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. – Bernama