Bilik tidur musnah 100 peratus dalam kebakaran di Desa Senadin

Facebook
WhatsApp
PADAM... Kelihatan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran, sebuah bilik tidur musnah 100 peratus pada kejadian di Lorong Tasik 4A4/E, Desa Senadin Fasa 7, di Miri, hari ini.

MIRI: Sebuah bilik tidur musnah 100 peratus dalam kebakaran di sebuah rumah di Lorong Tasik 4A4/E, Desa Senadin Fasa 7, di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.16 petang.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong yang diketuai PBT II Henry Jugah tiba di lokasi pada 3.30 petang, kira-kira 13 kilometer dari balai.

Menurut JBPM, kebakaran melibatkan sebuah bilik tidur berukuran kira-kira 10 kaki x 10 kaki yang terbakar sepenuhnya.

KEBAKARAN… Sebuah rumah di Lorong Tasik 4A4/E, Desa Senadin Fasa 7 yang mengalami kebakaran melibatkan sebuah bilik tidur, petang ini.

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut,” menurut kenyataan JBPM.

Operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur sepanjang 100 kaki dan satu nozel, dengan bekalan air diperoleh daripada pili bomba berhampiran.

Kebakaran berjaya dikawal pada 3.36 petang dan operasi ditamatkan pada 3.46 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi punca api serta keadaan di lokasi selamat.

Seramai lapan anggota BBP Lutong bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi berkenaan.

Oleh Adum Liu