Thailand pendekkan tempoh tinggal tanpa visa mulai 15 September

Facebook
WhatsApp

BANGKOK: Thailand bakal memendekkan tempoh tinggal tanpa visa bagi pemegang pasport Malaysia daripada 60 hari kepada 30 hari berkuat kuasa 15 September di bawah peraturan kemasukan disemak semula, yang turut melibatkan puluhan negara dan wilayah.

Walaupun tempoh lebih singkat, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata perubahan itu tidak memberikan kesan ketara terhadap pengembara rakyat Malaysia, memandangkan purata tempoh tinggal mereka di negara itu hanya kira-kira 4.3 hari.

Memetik kajian 2025 oleh Globlex Securities, beliau berkata kira-kira 70 peratus pelancong Malaysia tertumpu di wilayah selatan.

Bagaimanapun, beliau menasihati rakyat Malaysia supaya mengambil perhatian terhadap peraturan kemasukan baharu itu, khususnya bagi mereka yang merancang untuk tinggal melebihi 30 hari.

Pada 31 Ogos, Thailand mengumumkan dasar bebas visa baharu yang lebih pendek untuk 60 negara dan wilayah, termasuk Malaysia, sambil turut memperkenalkan kategori pengecualian 15 hari yang baharu untuk negara terpilih dan menyusun semula senarai visa semasa ketibaan.

Wan Zaidi berkata tempoh bebas visa yang lebih pendek boleh memberikan impak yang lebih besar kepada sesetengah pengembara, terutamanya warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga Thailand namun yang biasanya tidak menetap di Thailand, dengan menyatakan bahawa Kedutaan telah menerima maklum balas mengenai perkara itu.

“Bagi kategori pelawat ini, langkah tersebut mungkin mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap pengaturan perjalanan mereka, terutamanya tempoh lawatan keluarga, yang mungkin boleh dipendekkan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun kesan keseluruhan terhadap sektor pelancongan Thailand dijangka kekal terhad, kesan yang dijangka ke atas lawatan keluarga rentas sempadan memerlukan pertimbangan, terutamanya dalam mengekalkan kesalinghubungan rakyat dengan rakyat dan memudahkan hubungan kekeluargaan antara Malaysia dan Thailand.

“Bagaimanapun, Kedutaan Besar menasihati rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand supaya mematuhi dan menghormati undang-undang, peraturan dan keperluan Kerajaan Thailand,” katanya.

Wan Zaidi berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok juga memperkukuh penglibatan dengan pengendali pelancongan, syarikat penerbangan dan agensi berkaitan untuk memudahkan pertukaran maklumat dan memastikan penyebaran maklumat terkini mengenai perubahan prosedur, keperluan dan peraturan perjalanan tepat pada masanya.

Beliau menasihati pelancong yang berhasrat untuk tinggal di Thailand lebih 30 hari supaya mendapatkan e-Visa yang sesuai melalui Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia sebelum berlepas untuk mengelakkan sebarang salah faham atau kesulitan semasa tiba di Thailand.

Duta itu turut menggalakkan rakyat Malaysia memaklumkan Kedutaan mengenai ketibaan mereka di Thailand menerusi e-mel di mwbangkok@kln.gov.my. – Bernama

IPU tidak sihat masih dominasi Sarawak

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat masih mendominasi Sarawak apabila 13 daripada 20 stesen pemantauan merekodkan