KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan pengurusan isu jerebu rentas sempadan antara negara anggota ASEAN kepada Sekretariat ASEAN untuk ditangani menerusi saluran diplomasi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, isu berkenaan sememangnya berada di bawah pengurusan Sekretariat ASEAN dan terpulang kepada badan serantau itu untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Perkara ini diuruskan oleh Sekretariat ASEAN. Terpulang kepada mereka untuk menguruskannya secara diplomasi,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Kenyataan itu susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ASEAN meneliti semula mekanisme sedia ada dalam menangani isu jerebu rentas sempadan bagi mengelakkan kesannya terhadap kesihatan rakyat.
Anwar berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian serius oleh menteri-menteri ASEAN memandangkan jerebu boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat, khususnya bayi dan kanak-kanak.
Sementara itu, setakat 12.00 tengah hari ini, satu kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Stesen pemantauan di Serian merekodkan bacaan IPU 214, iaitu dalam kategori sangat tidak sihat.
Perkembangan itu berlaku ketika Sarawak masih berdepan keadaan jerebu susulan peningkatan bacaan pencemaran udara di beberapa kawasan.
Oleh Shahrul Qaizat





