MIRI: Tragedi helikopter 9M-LLF di Long Lellang, Baram, semalam bertambah memilukan apabila kesemua lima mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di dalam bangkai pesawat yang terhempas dan terbakar.
Lima mangsa ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31; serta jururawat SN Debra Moset, 40, dan SN Jessie Paya Jok, 44.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, berkata kesemua mangsa ditemukan ketika pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR), Bomba dan Penyelamat Zon Miri (STORM) menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Menurut beliau, identiti kelima-lima mangsa dikenal pasti berdasarkan barangan peribadi yang ditemukan pada jasad mangsa.
“Namun begitu, identiti mangsa secara rasmi akan disahkan melalui ujian sampel DNA.
“Kesemua jenazah mangsa akan diterbangkan ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan ujian DNA,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini petang tadi.
Oleh Liong Chai Ling





