MIRI: Seramai 20 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan ke Long Lellang, Ulu Baram hari ini bagi meneruskan operasi susulan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) berhampiran STOLport Long Lellang, semalam.
Pasukan itu membabitkan 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi serta masing-masing seorang wakil Layang-Layang Aerospace dan Malaysia Airports Berhad (MAB).
Pergerakan menggunakan helikopter MI-171 (M994-04) milik JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Sarawak, Miri dibuat secara berperingkat, dengan penerbangan pertama membawa pasukan operasi sebelum disusuli pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, penerbangan yang dirancang pada sebelah pagi tertangguh akibat hujan sebelum pergerakan diteruskan pada 11.06 pagi.
Sebelum itu, taklimat operasi diadakan bagi menyelaras aspek keselamatan penerbangan, cuaca, logistik dan gerak kerja pasukan di lokasi kejadian.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Penguasa Kanan Bomba II Kapten Robert James dan dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Nahas berlaku petang semalam apabila sebuah helikopter yang menjalankan perkhidmatan FDS dilaporkan terhempas berhampiran STOLport Long Lellang.
Status kelima-lima mangsa masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa.
Oleh Liong Chai Ling




