KUCHING: Lundu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak, iaitu 218, setakat 12.00 tengah hari ini. Bacaan tersebut berada pada tahap sangat tidak sihat.
Serian menyusul dengan bacaan IPU 214 dan turut berada dalam kategori sangat tidak sihat.
Sementara itu, Samarahan mencatatkan bacaan IPU 187, diikuti Kuching dan Lubok Antu yang masing-masing merekodkan bacaan 184, manakala Tebedu mencatatkan 176.
Sarikei pula merekodkan bacaan 173, diikuti ILP Miri (169), Sri Aman (166), Samalaju (165), Betong (MCAQM) (162), Bintulu (154), Mukah (144) dan Kanowit (137). Kesemua kawasan berkenaan berada pada tahap tidak sihat.
Lima kawasan mencatatkan tahap sederhana, iaitu Miri dengan bacaan 98, Sibu dan Lawas masing-masing 90, Kapit (89) serta Limbang (82).
Bario pula menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan tahap baik dengan bacaan IPU 50 setakat tengah hari ini.
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sebagai sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 sebagai sangat tidak sihat.




