KUALA LUMPUR: Sekumpulan malim gunung atau sherpa di Nepal berhasrat membantu usaha mengesan sembilan rakyat Malaysia dan seorang pemandu pelancong warga Nepal yang masih hilang selepas dua kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dipercayai dihanyutkan banjir di Rasuwa pada 26 Ogos lepas.
Malim gunung berpengalaman, Raj Neupane, 41, berkata beliau bersama kira-kira 20 individu lain akan memulakan pencarian dengan meneliti senarai mangsa yang diselamatkan di hospital, kem tentera dan balai polis, selain mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa Nepal.
“Kami tidak boleh ke Rasuwa kerana tiada jalan. Kerajaan Nepal juga sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat menggunakan helikopter, jadi kami akan membantu dengan memeriksa hospital, kem tentera dan kem polis serta mengenal pasti mangsa yang ditemui.
“Ketika ini, kami juga tidak dapat menyeberangi Sungai Trishuli. Jadi, kami akan cuba menuju sejauh yang boleh ke Rasuwa melalui jalan darat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Raj berkata inisiatif itu diambil susulan laluan ke lokasi terakhir kumpulan berkenaan di Rasuwa dan kawasan sempadan Tibet masih terputus akibat banjir serta tanah runtuh, sekali gus menyukarkan akses melalui jalan darat.
Dalam kejadian itu, sembilan rakyat Malaysia termasuk pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, dan Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul, 59, sedang menyertai ekspedisi pendakian ke Everest Base Camp (EBC).
Turut bersama mereka ialah pemandu pelancong dan penganjur ekspedisi warga Nepal, Ganesh Neupane yang berusia 41 tahun.
Raj, yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun membimbing pendaki di laluan Everest Base Camp (EBC) dan Annapurna Base Camp (ABC) berkata Ganesh kali terakhir menghubungi isterinya pada 8.48 pagi hari kejadian untuk memaklumkan kumpulan itu baru selesai bersarapan sebelum bergerak ke kawasan sempadan Tibet.
“Kira-kira 10 hingga 15 minit selepas panggilan itu, kami mendapat berita banjir besar melanda kawasan berkenaan dan semua komunikasi dengan kumpulan itu terputus,” katanya.
Beliau berkata selain komuniti sherpa, penduduk kampung di tempat asalnya juga akan membantu pencarian kerana beliau dan Ganesh berasal dari kawasan yang sama.
Raj turut berkata beliau secara peribadi mengenali Mohd Fakhrul Munir, yang mesra disapa Loe, sejak bertemu di Nepal pada 2017.
“Sebelum kejadian itu, Loe ada menghubungi saya kerana mahu berjumpa di EBC. Namun, saya memaklumkan saya sedang membawa pendaki ke ABC sepanjang tempoh ekspedisi mereka, jadi Loe berharap kami dapat bertemu pada lain kali,” katanya.
Raj berkata tragedi itu antara bencana paling dahsyat pernah disaksikannya sepanjang menjadi sherpa kerana ramai penduduk kehilangan ahli keluarga, manakala banyak kediaman dihanyutkan banjir.
Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana itu, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal, sekurang-kurangnya 1,350 orang terkorban manakala hampir 5,000 lagi masih hilang akibat banjir yang melanda negara itu pada 26 Ogos lepas.- Bernama





