ROBAN: Kerajaan Sarawak digesa menyegerakan perancangan menaikkan ketinggian bendung (weir) di Loji Rawatan Air (LRA) Lichok sebagai langkah strategik jangka panjang bagi menjamin bekalan air mentah yang lebih stabil untuk penduduk di Daerah Kabong dan daerah kecil Roban, khususnya ketika musim kemarau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kapasiti takungan air mentah sedia ada ketika ini hanya mampu menampung keperluan bekalan air selama kira-kira dua minggu sekiranya tiada hujan turun.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem penyimpanan air dengan meningkatkan ketinggian bendung daripada tiga meter kepada lima meter seperti yang dicadangkan sebelum ini.
“Saya berharap pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) serta Kementerian Utiliti dapat merancang dan mempertimbangkan cadangan untuk meninggikan bendung ini ke paras yang lebih tinggi.

“Langkah ini amat penting bagi memastikan simpanan air mentah mencukupi dan mampu menampung keperluan penduduk ketika berdepan cuaca kering yang berpanjangan,” katanya semasa meninjau keadaan di LRA Lichok, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan ketinggian bendung akan membolehkan lebih banyak air mentah ditakung sebagai rizab, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan air yang sering berlaku ketika kemarau.
“Jika bendung ini dapat ditinggikan, kapasiti simpanan air mentah akan bertambah dan kita mempunyai rizab yang lebih baik untuk menghadapi situasi luar jangka.
“Kita perlu melihat perkara ini sebagai penyelesaian jangka panjang, bukan sekadar bertindak apabila krisis bekalan air berlaku,” ujarnya.
Bekalan air di kawasan Kabong dan Roban dilaporkan pulih semalam susulan hujan yang berlaku selepas operasi pembenihan awan dilaksanakan, selepas kawasan berkenaan mengalami kemarau selama kira-kira dua minggu.
Namun begitu, Chee Kadir menegaskan bahawa pemulihan bekalan hasil hujan tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kekal memandangkan sumber air mentah di kawasan tersebut masih terdedah kepada perubahan cuaca.
Tambah beliau, saiz hulu Sungai Sebetan yang kecil menyebabkan sumber air mentah mudah terjejas apabila berlakunya cuaca kering untuk tempoh yang lama.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan isu berkenaan akan dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini bagi mendapatkan perhatian dan tindakan lanjut daripada pihak berwajib.
“Harapan saya agar projek menaikkan bendung ini dapat disegerakan kerana ia melibatkan kepentingan rakyat. Kita tidak mahu setiap kali kemarau melanda, penduduk sekali lagi berdepan masalah bekalan air,” katanya.
Oleh Adi Safarman





