RM25.98 juta bina 63 jalan ladang di Bukit Saban, mudahkan angkut hasil sawit

Facebook
WhatsApp
MAJLIS Penyerahan Siap Projek Naik Taraf Jalan Ladang Suri Tengah. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 23 Oktober: Sebanyak 63 projek jalan ladang bernilai RM25.98 juta telah dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) sejak 2024 hingga Oktober 2026 bagi meningkatkan kemudahan perhubungan penduduk luar bandar.

Pelaksanaan projek itu memberi manfaat besar kepada komuniti pertanian, khususnya pekebun kelapa sawit yang sebelum ini berdepan kesukaran membawa hasil kebun keluar untuk dipasarkan.

Kemudahan jalan ladang yang lebih baik bukan sahaja melancarkan pengangkutan hasil pertanian, malah membantu memudahkan urusan harian penduduk serta menyokong aktiviti ekonomi setempat.

Tuai Rumah Suri Tengah, Ambu Liben, berkata pembinaan jalan ladang telah banyak membantu penduduk mengatasi masalah pengangkutan hasil pertanian, terutama buah kelapa sawit.

“Dengan ada jalan ladang ini, ia amat memberi manfaat kepada kami, terutamanya untuk mengangkut buah kelapa sawit.

“Sebelum ini, urusan itu agak sukar, tetapi selepas adanya jalan ini, semuanya menjadi lebih mudah, selain memudahkan kami menjalankan kegiatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Siap Projek Naik Taraf Jalan Ladang Suri Tengah di sini, hari ini

Projek sepanjang 2.8 kilometer itu menelan kos RM700,000 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong, dengan kerja pembinaan bermula pada Jun tahun ini sebelum siap pada awal Oktober lalu.

Projek berkenaan berjaya disiapkan lebih sebulan awal daripada jadual asal pada November 2026, sekali gus membolehkan penduduk menikmati kemudahan jalan tersebut lebih awal.

Sementara itu, penduduk Rumah Panjang Suri Tengah, Jakop Mambang, berkata pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan di Bukit Saban dalam tempoh lima tahun lalu telah membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat setempat.

Menurutnya, antara pembangunan yang memberi manfaat kepada penduduk ialah Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling, Agropark serta rangkaian jalan raya dari Spaoh ke Debak dan jalan ladang.

“Dalam tempoh lima tahun, banyak projek pembangunan telah dilaksanakan kerajaan menerusi wakil rakyat kami, Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku ADUN Bukit Saban.

“Antara yang paling ketara ialah lapangan terbang, Agropark, jalan raya dari Spaoh ke Debak serta jalan ladang yang memudahkan kami mengangkut hasil sawit.

“Banyak manfaat yang kami peroleh dan kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Majlis penyerahan itu turut dihadiri wakil BDDA, Jordan Evin; wakil JKR Bahagian Betong, Sharifah Shafirah Wan Ibrahim; wakil Pejabat Daerah Kecil Debak, Terro; wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor, Perintis Development.

Oleh Adi Safarman