KUCHING: Persoalan sama ada 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang masih sukar ditentukan.
Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis berkata keputusan itu bergantung kepada dua faktor, iaitu tempoh penyelesaian kajian semula persempadanan kerusi terlibat dan tarikh pembubaran DUN Sarawak.
Beliau berkata dua faktor ini menyebabkan SPR belum dapat memberikan kepastian mengenai perkara itu.
“Pertama, kita perlu menyempurnakan kajian semula persempadanan ini sebelum 17 kerusi baharu ini dapat dikuatkuasakan. SPR diberi tempoh dua tahun untuk melengkapkan proses berkenaan.
“Kedua, kita tidak tahu bila DUN Sarawak akan dibubarkan. Yang kita tahu ialah DUN Sarawak akan bubar secara automatik pada Februari 2027,” katanya semasa menjadi tetamu program Influencer@JAPEN yang disiarkan melalui Facebook Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak hari ini.
Pada 1 September lepas, SPR mula mempamerkan notis cadangan bagi menambah kawasan pilihan raya baharu dan pertukaran nama kawasan pilihan raya di Sarawak.
Notis berkenaan akan dipamerkan hingga 30 September di beberapa pejabat daerah di seluruh Sarawak bagi membolehkan orang ramai mengemukakan bantahan terhadap cadangan berkenaan.
Menurut notis itu, SPR mengikut kehendak Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan telah mengkaji semula pembahagian negeri Sarawak kepada bahagian pilihan raya Persekutuan dan bahagian pilihan raya negeri.
Hasil kajian itu sebanyak 17 kawasan pilihan raya negeri baharu telah dicadangkan, manakala 10 lagi dicadangkan untuk ditukar nama.
Selain itu, terdapat satu kawasan pilihan raya Persekutuan dalam negeri Sarawak dicadangkan untuk ditukar nama.
Sementara itu, mengulas mengenai kajian semula persempadanan kerusi DUN Sarawak, Mohd Faisal Syam berkata kajian itu perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun selepas notis diwartakan pada 1 September lepas.
Beliau berkata terdapat beberapa peringkat atau proses yang perlu diselesaikan sebelum 17 kerusi baharu itu dapat dikuatkuasakan.
“Sekarang ini, kita berada pada proses pameran notis. Selepas pameran ini, jika ada bantahan, kita kena buat siasatan tempatan. Itu juga perlu mengambil masa.
“Selepas tempoh bantahan itu, SPR perlu duduk semula dan meneliti semua bantahan tersebut. Mana yang valid, kita terima dan kita tambah baik. Selepas itu kita ada pameran kali kedua untuk tempoh sebulan juga.
“Selepas semua selesai, kita akan serahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri,” katanya. – Bernama




