SPAOH: Ketenteraman sebuah keluarga di Kampung Hilir Spaoh terganggu apabila mereka dikejutkan dengan kehadiran seekor anak ular sawa sepanjang sekitar 0.6 meter di dalam bilik mandi rumah, malam tadi.
Kehadiran reptilia itu disedari pemilik rumah yang segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh pada 9.35 malam bagi mendapatkan bantuan.
Menurut kenyataan media APM Daerah Spaoh, tindakan pantas pengadu membolehkan pasukan penyelamat digerakkan segera ke lokasi bagi memastikan keselamatan penghuni rumah serta mengelakkan kejadian tidak diingini.
Skuad ASPA-03 Bravo yang diketuai Prebet Mohamad Firdaus Lihi bersama tiga anggota lain bergegas ke lokasi dengan membawa kelengkapan khas untuk menangkap reptilia.
Setibanya di rumah berkenaan, anggota APM melakukan pemeriksaan teliti sebelum menemukan anak ular sawa tersebut berada di bahagian dinding bilik mandi.
Dengan menggunakan teknik menyepit yang betul, anggota bertugas berjaya menangkap reptilia berkenaan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan atau insiden tidak diingini.
Anak ular sawa itu kemudian dibawa ke PKOD untuk proses pelepasan semula ke habitat yang bersesuaian dan jauh dari kawasan penempatan penduduk.
Operasi penangkapan berjalan lancar dan diselesaikan pada 9.48 malam.
APM turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko sekiranya menemukan haiwan berbisa atau reptilia di kediaman, sebaliknya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Sebarang kecemasan di daerah ini boleh dilaporkan kepada APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.
Oleh Adi Safarman





