Para Sukma: Bibiana “berlapar” demi emas, pecah rekod kebangsaan

Facebook
WhatsApp
BIBIANA Ahmad melakukan angkatan 86 kilogram (kg) dalam saingan para angkat berat kategori ringan bawah 61kg wanita pada Para SUKMA Selangor 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), Shah Alam, hari ini. Angkatan itu membolehkannya meraih pingat emas selain memecahkan rekod kebangsaan miliknya. Foto Bernama

SHAH ALAM: Pengorbanan hampir tidak menjamah makanan selama dua hari demi menurunkan berat badan ternyata berbaloi buat atlet para angkat berat Sarawak, Bibiana Ahmad, apabila meraih pingat emas pada Para Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di sini hari ini.

Bibiana turut memadam rekod kebangsaan bagi kategori 85 kilogram (kg) miliknya selepas melakukan angkatan seberat 86kg dalam saingan kategori ringan bawah 61kg wanita yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC).

Pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN 2025 dalam kategori 67kg itu mengakui beliau terpaksa melalui proses menurunkan berat badan secara drastik selepas sebelum ini lebih banyak beraksi dalam kategori berat yang lebih tinggi.

“Memang drastik. Dalam dua hari saya tidak makan. Saya hanya minum sedikit air dan mengambil ubat pada waktu malam. Pada waktu siang, memang tidak mengambil apa-apa. Jadi, apabila mendapat keputusan seperti ini, memang berbaloi,” katanya ketika ditemui selepas tamat acaranya di sini.

Bibiana berkata keputusan untuk turun ke kategori bawah 61kg dibuat selepas berbincang dengan jurulatih, dengan mengambil kira persaingan yang lebih mencabar dalam kategori yang lebih berat.

“Ini kali pertama saya benar-benar perlu berusaha keras untuk menurunkan berat badan. Sebab itu, saya sendiri tidak sangka dapat memecahkan rekod,” kata atlet berusia 38 tahun itu.

Sementara itu, atlet para angkat berat Perak, Aphiradi Singchang, meraih pingat perak selepas melakukan angkatan 59kg, manakala Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri dari Sarawak yang mencatat 56kg terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Dalam pada itu, atlet para angkat berat Kelantan, Ahmad Shahmim Mohd Kadri, melengkapkan koleksi tiga pingat emas Para Sukma selepas menjuarai kategori bawah 72kg lelaki.

Atlet berusia 24 tahun itu mencipta kejayaan dalam tiga edisi berturut-turut dalam kategori berat yang berbeza selepas menjuarai kategori 49kg pada edisi 2022 di Kuala Lumpur dan 54kg pada 2024 di Sarawak sebelum meneruskan penguasaan pada edisi kali ini.

Dalam saingan hari ini, beliau turut memperbaharui rekod temasya sebanyak tiga kali, bermula dengan angkatan 161kg pada percubaan pertama untuk memadam catatan 157kg milik jurulatihnya, Ma Hussein Mat Noh, sebelum meningkat kepada 166kg pada percubaan kedua dan 171kg menerusi percubaan ketiga.

Pingat perak diraih Muhamad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis dengan angkatan 131kg, manakala pingat gangsa menjadi milik atlet Johor, Mohamad Auf Kasdan, dengan angkatan 115kg. – Bernama

IPU Serian meningkat, Lundu catat 285

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak terus meningkat setakat 4.00 petang hari ini berbanding 12.00 tengah