Kes juruterbang MAS: MOT, CAAM perketat pemeriksaan juruterbang, kru kabin – Loke

Facebook
WhatsApp
JURUTERBANG MAS. Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengambil langkah memperketat pemeriksaan terhadap juruterbang, kru kabin dan petugas penerbangan lain susulan kes seorang juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Menterinya Anthony Loke berkata langkah itu sekurang-kurangnya yang boleh dilakukan kementeriannya ketika ini memandangkan MOT tidak mendapat maklumat mengenai perkembangan siasatan polis, termasuk identiti suspek atau sebarang tangkapan yang dibuat kerana perkara itu sedang disiasat sebagai kes jenayah.

“Saya masih tidak mendapat maklumat mengenai butirannya…Kami membaca laporan bahawa beberapa tangkapan telah dibuat, jadi adalah lebih baik pihak polis yang membuat pengumuman lanjut mengenai perkara itu,” katanya ketika ditanya pada sidang media sempena Persidangan Ketua Pengarah Penerbangan Awam ke-61 bagi Rantau Asia Pasifik (DGCA/61) di sini hari ini.

Beliau berkata MOT bagaimanapun akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis, termasuk memberikan akses kepada kemudahan lapangan terbang serta sebarang maklumat atau pegawai yang diperlukan bagi membantu siasatan.

“Siasatan ini di bawah bidang kuasa polis. Mereka tidak berkewajipan untuk memaklumkan kepada kita atau berbincang dengan kita mengenai perkembangan siasatan, namun kita akan memberikan kerjasama dengan menyediakan apa sahaja maklumat atau akses yang diperlukan sama ada kemudahan atau lapangan terbang kita, selain mana-mana petugas yang ingin mereka temui atau siasat,” katanya. 

Pada 4 September lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata polis menahan enam lelaki tempatan disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikaitkan dengan penahanan pembantu juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta pada Julai lepas.

Beliau berkata tangkapan itu dibuat susulan maklumat yang diperoleh daripada pembantu juruterbang berusia 39 tahun itu ketika disoal siasat oleh pasukan JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos.

Laporan media sebelum ini menyebut pembantu juruterbang itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

 Polis Republik Indonesia (POLRI) dilaporkan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan dadah jenis methamphetamine, bernilai sekitar RM45 juta.

Sementara itu, berhubung lencongan penerbangan susulan kejadian abu gunung berapi di Jakarta, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata Malaysia membantu dengan menyediakan lapangan terbang alternatif bagi penerbangan yang pada asalnya dijadualkan menuju ke Jakarta.

“Bagi Malaysia, kami membantu mereka dengan menyediakan lapangan terbang alternatif. Jadi, penerbangan yang menuju ke Jakarta, sebahagian pesawat dilencongkan ke KLIA. Kami membantu mereka dari aspek itu,” katanya. – Bernama