Masalah air Dudong, PDP mahu penyelesaian sebelum hujung tahun

Facebook
WhatsApp
BINCANG…Teo (duduk tengah) ketika mempengerusikan sesi dialog dengan pihak SWSB, JBALB dan KMKK berkenaan isu air di Sibu, hari ini.

SIBU: Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Dudong menggesa agensi bekalan air mempercepatkan penyelesaian masalah bekalan air yang berlarutan di beberapa kawasan, termasuk Sibu Jaya, Assan Tengah, Assan Nunggang dan Durin.

Pengerusinya, Datuk Teo Boon Siew, berkata masalah berkenaan diharap dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini, selain menuntut penjelasan lebih terbuka daripada agensi berkaitan.

“Masalah sebegini tidak perlu timbul lagi dan pihak berkenaan sewajarnya mendedahkan segala kesulitan yang dihadapi terus kepada rakyat tanpa berselindung atau menuding jari satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi dialog berkaitan isu air bersama Sarawak Water Sdn Bhd (SWSB) Wilayah Tengah, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Pejabat Residen Sibu, di sini, hari ini.

Sesi itu turut dihadiri lebih 15 orang yang terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), termasuk pihak sekolah dari kawasan terjejas.

Teo turut menggesa agensi berkaitan mempercepatkan penghantaran air ke kawasan yang mengalami gangguan, selain mengemas kini perkembangan projek bekalan air supaya maklumat dapat disampaikan terus kepada penduduk.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap bekalan air, anda harus lebih peka menyelesaikan masalah ini. Disebabkan masalah ini, wakil rakyat kawasan telah dihentam.

“Apabila orang ramai membuat aduan dan memerlukan penghantaran air, sila hantar dengan cepat. Jangan sahaja menghantar air berdasarkan aduan tetapi hantarlah ke kawasan terjejas,” katanya.

Menurutnya, komunikasi dan penerangan yang lebih berkesan daripada SWSB serta JBALB penting bagi mengurangkan salah faham dalam kalangan penduduk dan mengelakkan isu bekalan air terus memberi tekanan kepada wakil rakyat.

Sementara itu, wakil SWSB Wilayah Tengah, Siew Kok Kiong, memaklumkan masalah bekalan air di Sibu Jaya dijangka berakhir menjelang penghujung tahun ini apabila projek pemasangan paip utama berkapasiti lebih besar siap sepenuhnya.

Katanya, paip utama berdiameter 900 milimeter sedang dipasang bagi meningkatkan kapasiti penghantaran air ke kawasan berkenaan daripada 10 juta liter sehari kepada 13 juta liter sehari.

“Kami berharap masalah bekalan air ini dapat diselesaikan menjelang akhir tahun ini. Kerja-kerja pemasangan paip utama berkapasiti lebih besar masih sedang dijalankan,” katanya.

Siew berkata, gangguan bekalan air di Sibu Jaya kini tidak lagi berlaku secara meluas seperti sebelum ini, namun penghuni tingkat dua dan tiga di beberapa rumah pangsa masih berdepan gangguan berkala, terutama ketika waktu penggunaan memuncak.

Bagi kawasan Durin pula, beliau berkata SWSB merancang melaksanakan kerja penggantian paip mulai tahun depan.

Siew turut mengingatkan pengguna supaya menyalurkan aduan berkaitan bekalan air terus kepada Sarawak Water melalui talian 1300-88-2020 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Oleh Tarani Lanting