JBALB gerak 10 lori tangki bekal air penduduk Kabong, Roban

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 10 lori tangki telah digerakkan bagi melaksanakan penghantaran bekalan air kepada komuniti yang memerlukan di Kabong dan Roban. Foto JBALB Betong

KABONG: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) terus mempergiat usaha memastikan keperluan bekalan air penduduk di kawasan terjejas di Kabong dan Roban tidak terputus susulan keadaan musim kemarau dan kekurangan sumber air.

Menerusi kenyataan media JBALB Sarawak, sebanyak 10 lori tangki telah digerakkan bagi melaksanakan penghantaran bekalan air kepada komuniti yang memerlukan.

Setakat 12.00 tengah hari, sebanyak 10 perjalanan atau trip penghantaran telah dilaksanakan, manakala operasi berkenaan masih diteruskan mengikut keperluan serta keadaan semasa.

Selain itu, sebanyak 16 buah tong air turut dihantar ke hadapan Masjid As-Sabirin, Kabong bagi kegunaan penduduk di kawasan berdekatan.

Penghantaran bekalan air turut melibatkan beberapa lokasi penting dan kawasan penempatan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong, Klinik Kabong, Kampung Melayu, Kampung Melayu Roban, Kampung Roban dan Kampung Kaba.

JBALB memaklumkan langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam memastikan bekalan air dapat disalurkan kepada komuniti yang terjejas, khususnya ketika berdepan cuaca kering berpanjangan.

JBALB Sarawak turut memberi jaminan akan terus memantau situasi dan melaksanakan penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan penduduk di kawasan terjejas.

Orang ramai diminta mendapatkan perkembangan terkini menerusi saluran media sosial rasmi JBALB Sarawak.

Sebarang aduan atau pertanyaan berkaitan bekalan air boleh disalurkan kepada JBALB Call Centre di talian 082-262211.

Oleh Adi Safarman