KUALA LUMPUR: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak AI Global Perikatan Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan Dunia (WITSA) 2027 di Kuching, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu dalam landskap kecerdasan buatan (AI) global serta mempamerkan keupayaan digital dan potensi pelaburannya yang kian berkembang.
Sidang kemuncak itu akan diadakan seiring dengan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2027, berteraskan penglibatan Sarawak yang semakin meningkat dalam ekosistem AI global.
“Penganjuran yang dicadangkan ini akan terus mengukuhkan peranan rantau ini sebagai jambatan antara ASEAN dan komuniti AI global,” menurut Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Berhad dalam satu kenyataan.
Penganjuran bagi tahun 2027 itu dibina berasaskan penyertaan SDEC dalam Sidang Kemuncak AI Global WITSA 2026 yang berlangsung di Taipei, Taiwan pada 1 dan 2 September lepas, apabila Sarawak meraih dua Anugerah AI Global WITSA bagi kategori Dasar Awam dan Pelaburan.
Pengiktirafan itu adalah bagi menghargai usaha Sarawak dalam mewujudkan persekitaran yang membolehkan transformasi digital dan pembangunan AI, menarik pelaburan serta memupuk inovasi.
Awal tahun ini, SDEC turut menjadi rakan hab pengasas Rangkaian Ekosistem AI Global WITSA (WITSA GAIN), iaitu platform yang menghubungkan kepakaran dan sumber global untuk memupuk inovasi serta peluang rentas sempadan.
Semasa Sidang Kemuncak AI Global WITSA 2026, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Datuk Sudarnoto Osman mengetengahkan usaha Sarawak untuk menterjemahkan aspirasi digital dan AI negeri kepada tindakan bermakna yang berteraskan keperluan rakyatnya.
“Kami sedang meneroka bagaimana perkembangan global dapat membimbing hala tuju Sarawak sendiri dalam bidang yang menjadi kepentingan kami seperti model Grid AI, penokenan, keupayaan AI berdaulat, serta model yang lebih mencerminkan pengetahuan dan keadaan tempatan.
“Ini bermakna memperkukuh keupayaan tempatan sambil kekal terbuka kepada rakan kerjasama antarabangsa dan penyedia teknologi ,serta mana-mana yang sesuai, pendekatan sumber terbuka,” katanya.
Sudarnoto berkata Sarawak kini bergerak “daripada visi kepada pelaburan, daripada pelaburan kepada keupayaan, daripada keupayaan kepada aplikasi”, dan semakin maju daripada sekadar menerima pakai teknologi kepada penciptaan teknologi.
Dilancarkan di Taipei pada 2025, Sidang Kemuncak AI Global WITSA merupakan platform tahunan berasaskan jemputan khas yang dianjurkan oleh WITSA, menghimpunkan pembuat keputusan daripada pihak kerajaan, industri, akademik dan masyarakat sivil untuk membincangkan trend, dasar, pelaburan serta peluang berkaitan AI.
Edisi 2025 dan 2026 dianjurkan di Taipei oleh Persatuan Perisian dan Perkhidmatan Inovatif Taiwan (TISSA).
SDEC, syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak, ditubuhkan pada Julai 2020 untuk memacu penggunaan digital di seluruh industri serta menerajui inovasi teknologi di negeri itu. – Bernama




