JKM Sarawak salur 6,032 kotak air mineral bantu penduduk terjejas di Kabong

Facebook
WhatsApp
JKM Sarawak meneruskan usaha membantu penduduk di kawasan Kabong yang terjejas akibat cuaca kering, jerebu dan gangguan bekalan air dengan menyalurkan ribuan kotak air mineral kepada komuniti setempat, semalam. Foto ADUN Kabong

KABONG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak meneruskan usaha membantu penduduk di kawasan Kabong yang terjejas akibat cuaca kering, jerebu dan gangguan bekalan air dengan menyalurkan ribuan kotak air mineral kepada komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, bantuan berkenaan disalurkan susulan permohonan dan laporan yang diterima melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong.

Beliau berkata, bagi agihan sebelum ini, bantuan membabitkan tiga kawasan iaitu Kampung Sungai Endot Lot Kabong, Kampung Hilir Tengah Kabong dan Kampung Masjid Lama Kabong.

“Di Kampung Sungai Endot Lot Kabong, seramai 300 penduduk daripada 99 KIR/pintu menerima 600 kotak air mineral.

“Manakala, Kampung Hilir Tengah Kabong melibatkan 320 penduduk daripada 62 KIR/pintu dengan agihan 640 kotak air mineral.

“Bagi Kampung Masjid Lama Kabong pula, sebanyak 1,058 kotak air mineral disalurkan kepada 529 penduduk daripada 97 KIR/pintu,” katanya.

Secara keseluruhannya, agihan bagi tiga kawasan berkenaan membabitkan 258 KIR/pintu dan 1,149 penduduk, dengan jumlah keseluruhan 2,298 kotak air mineral.

Penghantaran bantuan itu turut melibatkan wakil JKM Saratok, Juhayati Dahlan, bersama beberapa anggota Jawatankuasa Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong.

Bagi penghantaran hari ini, sebanyak 448 kotak air mineral dihantar ke Kampung Hulu Tengah, diikuti Kampung Hilir Darat sebanyak 768 kotak dan Kampung Hilir Laut sebanyak 582 kotak.

BANTUAN AIR… Sebanyak 3,734 kotak air mineral dihantar ke lima kawasan di Kabong bagi membantu penduduk yang terjejas akibat gangguan bekalan air. Foto ADUN Kabong

Kampung Sungai Benang pula menerima 700 kotak, manakala Kampung Sungai Endot menerima jumlah terbesar iaitu 1,236 kotak air mineral.

Keseluruhannya, sebanyak 3,734 kotak air mineral dihantar ke lima kawasan berkenaan.

Menurut Chee Kadir, usaha berterusan agensi berkaitan itu penting bagi memastikan keperluan asas penduduk terus terpelihara, terutama ketika kawasan berkenaan berdepan keadaan cuaca kering, jerebu dan gangguan bekalan air.

Beliau turut menegaskan bahawa perkembangan semasa berkaitan keadaan penduduk di kawasan Kabong sentiasa diberi perhatian bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Keprihatinan dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kebajikan serta keperluan asas rakyat Kabong terus terbela sepanjang tempoh berdepan cuaca kering, jerebu dan masalah bekalan air,” katanya.

Oleh Adi Safarman