Pang Ron-Pei Jing selangkah lagi juarai Masters China

Facebook
WhatsApp
BEREGU campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing meraikan kemenangan selepas menewaskan gandingan China, Zhu Yi Jun-Li Qian, pada aksi separuh akhir Masters China 2026 di Shenzhen Arena hari ini. Kemenangan 21-12, 21-10 dalam masa 34 minit itu membawa mereka ke final.

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing hanya selangkah lagi untuk menamatkan saingan Masters China 2026 dengan gelaran juara selepas mara ke final dengan bergaya hari ini. 

Pasangan ranking ke-85 dunia itu mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan wakil China, Zhu Yi Jun-Li Qian, 21-12, 21-10 pada aksi separuh akhir di Shenzhen Arena.

Kemenangan straight set itu hanya mengambil masa 34 minit, sekali gus meneruskan rentak cemerlang Pang Ron-Pei Jing dalam kejohanan Super 750 berkenaan.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan mereka menjadi pasangan Malaysia pertama mara ke final kejohanan Super 750 musim ini. 

Aksi final berpotensi menemukan dua pasangan negara apabila satu lagi wakil Malaysia Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan berdepan gandingan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam satu lagi aksi separuh akhir.- Bernama