SEVILLE, Sepanyol: Kylian Mbappe gagal menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung perlawanan ketika Troy Parrott menjaringkan gol pertamanya untuk Real Betis bagi membantu pasukannya menewaskan Real Madrid 1-0, sekali gus menamatkan permulaan sempurna pasukan kendalian Jose Mourinho dalam saingan La Liga.
Madrid memenangi ketiga-tiga perlawanan pertama mereka di bawah kendalian Mourinho dalam tempoh keduanya bersama kelab itu, namun penjaga gol Betis, Alvaro Valles, menyelamatkan sepakan penalti Mbappe pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bermakna di La Cartuja.
Vinicius Junior terkena tiang pada separuh masa pertama menerusi hantaran Arda Guler yang melintasi muka gawang, manakala Mbappe dinafikan dua kali menerusi aksi pertahanan cemerlang Natan dan Marc Bartra selepas serangan balas pantas Madrid.
Ketika Madrid terus memburu gol pembukaan, Betis mengejutkan lawan dengan mendahului sembilan minit sebelum tamat perlawanan apabila Parrott menyambar bola muntah selepas Thibaut Courtois melakukan aksi menyelamat cemerlang bagi menafikan tandukan Nelson Deossa.
Penyerang Republik Ireland itu menyertai kelab dari Seville berkenaan bulan lalu menerusi kontrak lima tahun selepas berpindah dari AZ Alkmaar. Pada penampilan sulungnya di laman sendiri, Parrott membuktikan ketajaman penyudah yang diharapkan penyokong Betis dapat dipamerkannya secara konsisten selepas aksi prolifiknya di Belanda.
Carlos Espi menyangka beliau berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyudah akrobatik hasil hantaran lintang Vinicius, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid ketika gerakan tersebut bermula.
Mbappe kemudian hampir menyamakan kedudukan apabila percubaannya terkena palang sebelum diberikan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti susulan terjahan lewat Natan ke atas Vinicius.
Bagaimanapun, Valles berjaya menyelamatkan sepakan tersebut untuk memastikan kemenangan yang menyaksikan Betis menyamai kutipan sembilan mata Madrid selepas empat perlawanan, menjelang penampilan kedua mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu depan.
“Pasukan bermain dengan baik. Ada kalanya anda kalah dan tidak dapat menjelaskan bagaimana ia berlaku,” kata Mourinho.
“Kami benar-benar menguasai permainan, mencipta banyak peluang ketika menyerang dan mempunyai banyak kesempatan. Jika perlawanan berakhir seri, kami pasti kecewa, jadi bayangkan perasaan kami selepas mengalami kekalahan.”
Ditanya mengenai insiden pada penghujung perlawanan, termasuk gol Espi yang dibatalkan dan kegagalan Mbappe menyempurnakan penalti, jurulatih dari Portugal itu enggan terheret dalam kontroversi pengadilan.
“Sejujurnya, saya tidak tahu mengapa kami kalah. Kami mencipta banyak peluang, gagal menyempurnakan tiga atau empat daripadanya, manakala penjaga gol mereka turut melakukan tiga atau empat aksi menyelamat luar biasa,” kata Mourinho.
“Saya tiada apa-apa untuk dipersalahkan terhadap pemain saya. Kami mungkin layak menang, tetapi kelayakan untuk menang tidak memberikan anda sebarang mata.”
Barcelona berpeluang melebarkan kelebihan kepada tiga mata di puncak liga pada Ahad dengan kemenangan keempat berturut-turut sekiranya menewaskan Valencia di Mestalla.
Madrid akan memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka di laman sendiri menentang juara Itali, Inter Milan, pada Selasa depan, manakala Betis akan bertandang ke Perancis untuk menentang Lille. – AFP




